Sejak beberapa hari lalu, seluruh masyarakat dunia heboh dengan cabaran #10YearsChallenge. Sesuai dengan namanya, cabaran yang tular itu dilakukan dengan cara membandingkan foto sepuluh tahun lalu dengan yang terkini.

Pelbagai lapisan masyarakat bermula daripada orang awam sehinggalah golongan selebriti terkenal serata dunia termasuklah di Hollywood memuat naik cabaran tersebut di laman sosial masing-masing. Salah seorangnya adalah aktres cantik Anne Hathaway.

Melalui akaun Instagram miliknya, aktres yang popularitinya melonjak menerusi filem The Princess Diaries ini tak mahu ketinggalan berkongsi foto masa lalu dan membandingkan dengan penampilannya sekarang. 

Dalam entri tersebut, Anne menggabungkan dua foto kenangan ketika dia menghadiri anugerah Golden Globes Awards di tahun 2009 dan 2019.

Menariknya, pelakon filem Ocean’s 8 ini bergaya dengan aksi serupa seperti tidak ada perubahan walaupun selang 10 tahun lamanya.

Berserta kapsyen, wanita berusia 36 tahun ini menulis, perbezaan paling besar selama sepuluh tahun ini adalah perubahan karakter yang dialaminya.

Katanya, jika dulu dia selalu berusaha gigih untuk menjadi yang terbaik dan tidak melakukan kesalahan. Namun sekarang, dirinya lebih senang melakukan apa saja yang dirasakan betul. 

“Wow, pada 2009 saya berusaha gigih untuk tidak melakukan kesalahan. Tapi 2019 saya melakukan apa-apa yang saya rasa betul,” katanya.

Status perkongsian Anne itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Rata-rata melayangkan pujian kepada aktres filem The Intern ini. Sebahagian besar memberikan komen mengatakan wajah Anne tidak dimamah usia.

Bahkan agak lucu apabila ada yang menggelarkan Anne sebagai pontianak disebabkan dia kelihatan kekal muda daripada di awal pembabitannya dalam dunia lakonan sehinggalah sekarang. 

“Melihat ini, saya rasa hanya saya saja yang membesar. Dia tidak tua,” komen salah seorang peminat. 

“Dia seperti pontianak, dia tidak kelihatan tua sama sekali,” komen seorang lagi. 

“Anne, kamu kelihatan seperti pontianak di dunia realiti. Saya rasa kamu tak tua sedikit pun,” puji seorang lagi netizen. – MHE TV

Iklan