Bengang dengan tindakan bekas majikan, Suria FM yang disifatkan telah membuka aibnya, Shahrol Shiro menempelak stesen radio terbabit menerusi hantaran kapsyen panjang berjela yang dimuat naik pada laman Instagram miliknya.

Di samping mendakwa berkemungkinan terdapat seseorang wakil syarikat berkenaan yang berhasad dengki, Shahrol turut mendedahkan pelbagai kemelut lain berlaku dalam tempoh tiga bulan dia berkhidmat.

“Biar saya jelaskan satu persatu berhubung tuduhan ponteng kerja, MC dan masalah disiplin lain.

“Ya, memang timbul permasalahan itu sepanjang saya terbabit dalam program Maharaja Lawak Mega 2018.

“Dan apa hukumannya? Mereka gantung dan tolak gaji saya. Namun saya berlapang dada dan menerima keputusan itu,” memetik sebahagian kapsyen yang ditulisnya.


Syot layar entri yang dimuat naik Shahrol menerusi Instagram miliknya.

Malah tambah Shiro, dia rasa terhina apabila majikan cuma memaklumkan mengenai penamatan kontraknya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Apabila nak tamatkan kontrak, saya hanya dihubungi menerusi WhatsApp agar datang ke pejabat bagi mengambil surat tanpa duduk bersama untuk berbincang.

“Ingat saya ini sampah?” tempelak Shahrol mempertikaikan tahap profesionalisme bekas majikannya itu.

Sebelum mengakhiri kata-katanya, Shahrol sempat meninggalkan pesan buat rakan sekontinya dalam segmen Team Pagi Suria iaitu Fizi Ali dan Issey Fazlisham supaya terus ikhlas berkarya.

“Kepada DJ Lin, jangan terlampau ikutkan perasaan. Banyak api dalam serkam di sana,” tulisnya lagi dalam nada sinis. – MHE TV

Iklan