WALAUPUN berkemampuan untuk memenuhi setiap keinginan anak-anak namun bintang filem Ada Apa Dengan Cinta ini tidak berbuat demikian. Sissy Prescillia mahu mereka belajar menabung untuk mendapatkan apa yang diinginkan.

Pendekatan itu juga bagi memastikan El Mayka Rifat Sungkar dan Mikkairo Riley Sungkar lebih menghargai duit. Setiap satu sen yang dimiliki mempunyai nilai tersendiri dan wajar dimanfaatkan sepenuhnya.

Tambahan pula pada waktu membesar seperti sekarang ini, kedua-dua cahaya matanya sudah pandai meminta barang mainan. Setiap kali keluar rumah, ada saja permintaan daripada mereka.

“Anak-anak saya selalu meminta permainan yang dimuat naik dalam YouTube. Mereka mudah terpengaruh dan selepas itu mulalah merengek-rengek nak memiliki barang permainan kegemaran mereka.

“Tapi tidak semudah itu. Saya memberitahu mereka tidak mudah untuk memiliki apa yang diinginkan serta. Kalau mahu, kena menabung walaupun sedikit,” katanya kepada media Indonesia.

Bintang filem Milly dan Memmet ini mengakui dia mempunyai peruntukan untuk membelikan barang permainan setiap bulan. Bagaimanapun semua itu bergantung kepada sikap anak-anaknya.

Jika mereka kerap buat ‘perangai’ dan bersikap degil, Sissy tidak akan melengah-lengahkan permintaan anaknya itu. Semua itu dibuat untuk memastikan kedua-dua permata hatinya lebih menghargai apa yang diberikan.

“Biar anak-anak itu tahu macam mana susah payah orang tua mereka cari duit nak membiayai mereka sejak kecil. Cara itu buat mereka lebih memahami dan belajar bertoleransi dalam apa jua perkara,” katanya.

Sissy bercinta dengan Rifat Sungkar selama lapan tahun sebelum mengahwininya pada 10 Julai 2010. Pasangan ini kerap mendapat perhatian kerana kerap berkongsi gambar romantis dalam laman sosial.

Iklan