Aktres yang dikenali menerusi watak Bella dalam siri Dia Semanis Honey, Nadya Syahera, 26 atau mesra disapa sebagai Kak Bed akui, rumah tangganya bersama usahawan restoran, Fizul Nawi, 27, sedang berantakan.

Mendedahkan kecurangan suaminya setelah mendapat bukti bergambar bahawa lelaki itu menjalin hubungan dengan seorang gadis dari Kelantan, bagaimanapun Kak Bed kekal positif.

“Sebenarnya, hal ini baru saja dapat dibongkar kira-kira seminggu sebelum sambutan Aidilfitri yang lalu walaupun kecurigaan saya terhadapnya sudah dirasakan lebih awal.

“Naluri isteri, jujurnya saya mencurigainya sejak dia bekerja di luar kawasan iaitu di Kelantan yang juga merupakan kampung halamannya.

“Hampir sebulan dia di sana kononnya atas urusan kerja semata-mata dan langsung tidak balik ke rumah kami di Shah Alam untuk menjenguk saya serta anak-anak.

“Disebabkan rasa curiga dek perubahan sikapnya yang mendadak termasuk suka berdolak-dalih, saya pergi ke Kelantan untuk menyiasatnya sendiri.

“Akhirnya, teka-teki yang selama ini bermain di benak fikiran terjawab selepas melihat beberapa keping gambar yang membuktikannya bermain kayu tiga,” cerita Kak Bed kepada MHE TV.

Mula dikenali sebagai pelakon antagonis, Nadya kini mencuba watak komedi dek karakternya yang bersahaja.

Menurut anak kelahiran Kuala Nerang, Kedah itu lagi, difahamkan gadis terbabit adalah adik kepada pengasas produk kosmetik terkenal yang beroperasi di negeri Pantai Timur itu.

“Bahkan, hubungan kedua-duanya bermula setelah gadis berkenaan datang ke premis restorannya sebagai seorang pelanggan.

“Apapun yang berlaku, saya akan berusaha untuk pertahankan perkahwinan ini dan belum terdetik untuk meminta cerai waima tak dapat dinafikan betapa kecewanya saya atas perbuatan dilakukannya,” tambah pelakon siri Setelah Terlafaznya Akad itu.

Hampir empat tahun hidup berumah tangga, Nadya tekad mempertahankan perkahwinan keduanya bersama Fizul demi anak-anak mereka.

Sebelum bernikah, Fizul atau Mohamad Hafizul Md. Nawi merupakan seorang model di samping bergelar ahli perniagaan termasuk rakan kongsi kepada Wak Doyok dalam mengusahakan bisnes Dulangmas Cafe di Seksyen 7, Shah Alam.

Kini, Fizul menguruskan sendiri restoran miliknya iaitu The Golok Cafe yang terletak selang beberapa blok dari Dulangmas Cafe.

Perkahwinan Kak Bed dan Fizul pada 25 September 2015 adalah kali kedua buat pasangan itu setelah masing-masing gagal mempertahankan rumah tangga pertama mereka.

Hasil perkongsian hidup selama empat tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aleena Rose dan Mohamad Dayyan yang masing-masing berusia dua dan satu tahun. – MHE TV

Iklan