Polis menahan reman seorang tukang rumah selama empat hari bagi membantu siasatan kejadian batu nisan 20 buah kubur dirosakkan dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang pada Jumaat lalu.

Memetik laporan Kosmo, perintah reman sehingga 27 Jun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Melaka, Syarina Shaarani @ Tan terhadap suspek yang merupakan warga Indonesia berusia 46 tahun.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, suspek ditahan di Kampung Bakar Batu, Bachang selepas terdapat saksi yang melihat lelaki itu dalam keadaan mencurigakan semasa kejadian.

“Suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam di sebuah rumah di Bachang.

“Bagaimanapun setakat ini tiada pengakuan lisan dari suspek dan motif kejadian juga belum dikenalpasti,” katanya.

Sebelum ini tular dalam media sosial apabila batu nisan dan kepuk kira-kira 20 buah kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin di Bachang ditemui rosak dipercayai angkara khianat.

Turut ditemui dalam kejadian kira-kira jam 8. 30 malam itu dua buah kubur dengan kesan terbakar. – MHE TV

Iklan