Kepala hampir putus dipenggal manakala, kemaluan putus akibat dipotong dengan menggunakan senjata tajam. Itu antara maklumat yang dimaklumkan pihak polis Sao Paolo sejurus penemuan mayat seorang lelaki dipercayai pemain kelab bola sepak Brazil, Daniel Correa.

Hasil siasatan awal polis mendapati, pemain bola berkenaan dibunuh kejam ekoran tindakan mangsa cuba merogol isteri orang. Suspek pembunuhan itu dipercayai seorang ahli perniagaan bernama, Edison Brittes.

Berdasarkan fakta kes, Correa sebelum dibunuh telah menghadiri sebuah parti hari jadi anjuran anak ahli perniagaan tersebut, Allana yang ke-18. Difahamkan, sambutan ulang tahun itu diadakan di sebuah kelab malam pada 26 Oktober lalu. Habis di kelab malam, pemain berkenaan dijemput untuk mengikuti parti seterusnya di kediaman Edison, lapor Mirror.

Menurut seorang rakan Correa, pemain itu ada mengirimkan dua keping gambar selfie menerusi aplikasi WhatsApp sebelum mayatnya dijumpai dalam belukar.Gambar berkenaan menunjukkan Correa sedang bersama seorang wanita dipercayai isteri ahli perniagaan itu, Cristiana sedang nyeyak tidur di dalam sebuah bilik.

Selain gambar, dia juga mengirim satu mesej tertulis:

“Saya akan ‘menjamah’ ibu gadis ini. Bapanya juga ada di sini,”tulis Correa di pesanan WhatsApp.

Kiriman mesej tersebut secara langsung telah mengejutkan rakannya yang tidak mahu identitinya didedahkan. Malah, dia sempat memberitahu kepada Correa agar tidak melakukan perbuatan tersebut.

Sementara itu, polis percaya pemain bola sepak tersebut mati akibat dibelasah dalam rumah Edison, sebelum mayatnya dialih dan dibuang ke dalam belukar. Setakat ini, polis masih menyiasat sama ada Correa telah melakukan hubungan seks dengan Cristiana atau pun tidak.

Mengikut pengakuan Edison, dia bertindak memecahkan pintu bilik dipercayai berkunci selepas mendengar suara jeritan kuat isterinya. Dia turut mengaku telah membelasah Correa sebaik pintu dibuka.

Menurut Edison, dia berbuat demikian kerana pemain bola berkenaan cuba merogol isterinya. Dia turut mengaku telah membelasah sekuat hatinya dan mengheret mangsa keluar dari rumah.

Pada masa itu, ahli perniagaan tersebut menyatakan tidak pasti sama ada Correa masih bernyawa atau pun sudah mati selain, mengaku memotong kemaluan mangsa.

Dituduh sebagai suspek utama pembunuhan itu, Edison bagaimanapun memberitahu polis bahawa dia tidak berniat untuk membunuh Correa.

Polis turut mengesahkan telah menahan isteri dan anak perempuan Edison. Dalam perkembangan yang sama, polis masih memburu tiga individu lain dipercayai turut membantu Edson memukul mangsa sehingga mati.-MHE TV

Iklan