Bintang program realiti TV popular Korea ‘Heart Signal’, Kang Sung Wook dihukum penjara lima tahun selepas didapati bersalah kerana memperkosa seorang pelayan bar.

Pelakon berusia 33 tahun ini melakukan perbuatan terkutuk itu di kediamannya di Busan, pada Ogos tahun 2017.

Berdasarkan laporan asal, Kang Sung Wook, rakan lelakinya serta dua pelayan bar makan bersama di sebuah restoran.

Kemudian, kedua gadis itu dijemput oleh Kang Sung Wook dan rakannya bertandang ke rumah mereka bagi memenuhi tuntutan tertentu.

Ketika di kediaman tersebut, salah seorang daripada pelayan itu (mangsa) dilarang keluar sebelum dia diperkosa Kang Sung Wook dan rakannya.

Mangsa telah membuat laporan polis, namun pelakon berkenaan menafikan dakwaan itu malah menggelarkan mangsa seorang ‘pisau cukur’.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati Kang Sung Wook bersalah selepas mengamati pengakuan yang konsisten daripada mangsa dan saksi.

Selain aktif membintangi program realiti televisyen dan teater muzikal, Kang Sung Wook pernah menjayakan drama terbitan tvN, Because This Is My First Life serta drama Marry Me Now, sebagai watak pelakon pembantu. – MHE TV

Iklan