Siapa tak sayang keluarga sendiri kan? Walau mungkin bertikam lidah dan bermasam muka sehari dua, kalau sudah namanya adik beradik, air yang dicincang tidak akan putus.

Begitulah hebat kasih sayang adik beradik sehingga pengarah, Erma Fatima mengundang reaksi sedih warganet tatkala membaca entri baharunya di Instagram sempena ulang tahun adiknya, Datin Umie Aida.

Dalam perkongsian video pendek itu, Erma berkata, dia tidak memiliki apa-apa di dunia selain kasih dan sayang keluarganya yang tidak akan terganti walau dengan apa pun harta.

“Aku mungkin bukan kakak yang terbaik untuk kalian. Mungkin juga bukan yang penting dalam hidup kalian. Tapi aku hanya ada kalian di antara harta yang paling bernilai dalam hidup aku.

“Kerana hanya kalian sahaja sumber kebahagiaan untuk aku teruskan sisa kehidupan. Mungkin tidak ada kata-kata yang mampu aku ucapkan betapa bermaknanya kalian dalam hidup aku.

“Aku tidak akan berhenti mencintai kalian. Terima kasih Tuhan kerana terus memberikan aku kebahagian ini,” kata Erma menerusi kapsyennya.

Rata-rata warganet meluahkan rasa sedih dan terharu tatkala membaca entri tersebut kerana ada yang berpendapat, bukan mudah seorang kakak meluahkan rasa kasih kepada adik di laman sosial.

Umie yang ketika ini berada di Tanah Suci menunaikan umrah turut meninggalkan komen terima kasih kepada kakaknya dan berjanji untuk saling melindungi sehingga akhir hayat.-MHE TV

Iklan