KETIKA ramai orang mencaci dan menghadiahkan kata-kata kesat kepada artis ini, penceramah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew tampil dengan pendekatan berbeza.

Ebit mencari Aliff Aziz di rumah kediaman ibu bapa penyanyi itu yang terletak di Singapura dan Aliff tenang menyambut kedatangan dengan wajah yang polos.

Ebit yang memuat naik status dalam laman Facebook miliknya memberitahu, dia sebak kerana dapat menziarah dan berdakwah kepada Aliff.

“Sebak tadi. Semalam dari Tapah Ipoh terus ke Singapore malam ni ceramah di Masjid Politeknik Pasir Gudang. Terus dapat mesej team #doorToDoorEbitlew untuk ziarah dakwah Aliff Aziz. Terus ke rumahnya. Niat kerana Allah sahaja. Berdoa supaya Allah terima jadi asbab kebaikan dan hidayah.

“Panjang lebar kami berbual tadi. Saya tanya jika hari ini hari terakhir. Tiada esok. Tiada lusa. Apa nak cakap pada yang disayangi dan anak yang sangat cute. Beliau terus menangis teresak-esak. Menahan sebak. Saya jadi sebak.

“Syukur dengar beliau kini sangat jaga solat. Mula hafal al-Quran. Neneknya dan atuknya orang sangat baik. Begitu juga mak ayahnya baik semuanya. Tadi banyak soalan agama darinya.

“Setiap manusia diuji Allah. Setelah ujian adakah kita semakin dekat dengan Allah? Saya doakan Aliff Aziz istiqamah yer kerana Allah dan persiapan akhirat. Beliau diuji. Saya dan kita semua juga diuji Allah,” tulis Ebit menerusi Facebooknya.

Dalam masa yang sama, mendoakan agar penyanyi ini istiqamah dalam perbuatan baiknya ketika ini dalam persediaan menuju akhirat.

Sementara itu, Aliff memberitahu dia mengalami fasa terberat di dalam hidupnya dan mengaku bagaikan hilang arah dan tidak dapat berfikir dengan waras sewaktu kejadian itu berlaku.

Ujar Aliff, tambahan pula perceraian yang berlaku menambahkan lagi kekusutan di dalam hidupnya dan menjadikan dia semakin jauh daripada Allah SWT.

“Saya melalui satu fasa yang agak besar, berat dan gelap pada ketika ini. Sewaktu lepas berpisah, saya rasa tak boleh terima hakikat. Dan sebagai manusia biasa, ada satu-satu ujian tu sama ada boleh buat dekat atau jauh dengan Allah.

“Jadi masa kejadian tu, saya tak boleh nak terima hakikat. Aliff tengah dalam fasa nak cari sesuatu untuk menjadi tenang namun tidak menjadi. Jadi dalam keadaan terdesak, itulah yang berlaku begitu,” jelas Aliff.

Aliff yang sebelum ini menghadapi pelbagai kontroversi termasuk isu curang dengan beberapa wanita. Antaranya dua pelakon baharu iaitu Afifah Nasir dan Oktavia Manrose.

Sehinggalah kemuncak kontroversi ini apabila Aliff sekali lagi kantoi curang dengan seorang gadis bawah umur yang dikenali sebagai Nismell, yang membawa kepada perceraiannya dengan Bella. – MHE TV

Iklan