Hari ini dunia sukan badminton negara dikejutkan dengan berita pengumuman rasmi berita persaraan, Datuk Lee Chong Wei.

Keputusan penting itu diambil beliau ekoran keadaan kesihatan dihadapinya serta nasihat daripada doktor.

Pada masa yang sama, beliau turut mengadakan perbincangan lanjut bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Chong Wei mengumumkan berita terbabit dalam satu sidang akhbar yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.

Beliau akui sukar untuk berbuat demikian dan terpaksa mengambil masa sebulan memikirkan hal tersebut.

“Selepas 19 tahun, hari ini saya umumkan bersara. Selepas ujian kesihatan April lalu di Taiwan, saya mengambil masa rehat sebulan untuk membuat keputusan. Ini adalah sesuatu yang sukar bagi saya,” ujar Chong Wei sambil mengesat air matanya.

Naib juara dunia tiga kali ini dalam nada sebak turut mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih yang pernah membimbingnya selama ini termasuklah legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek.

Ucapan sama turut ditujukan kepada para pengamal media, kakitangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan seluruh rakyat Malaysia kerana terus menyokong kariernya sebagai pemain badminton profesional di peringkat antarabangsa.

Selepas bersara dalam sukan ini, Chong Wei mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan berbulan madu yang perlu diganti kerana sebelum ini masa beliau tertumpu pada karier sebagai ahli sukan.

Sementara itu, Syed Saddiq menganggap jaguh badminton negara tersebut memiliki roh semangat sukan yang tinggi yang akan menjadi pembakar semangat atlet sukan lain dalam misi mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

Dalam sidang media itu, turut diumumkan pemenang pingat perak tiga kali temasya Olimpik itu sebagai calon Ketua Kontinjen Malaysia (Chef de Mission) pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.- MHE TV

Sumber gambar: AFP

Iklan