Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia malam tadi diberikan kenaikan pangkat secara ‘posthumauos’.

Datuk Seri Mohammad Mentek yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Allahyarham yang sebelum ini berpangkat gred KB19 akan dinaikkan ke KB22 berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, kenaikan pangkat itu bagi membantu meringankan beban keluarga Allahyarham dari segi imbuhan pencen.

“Kita berduka cita dan terharu atas pemergian Allahyarham kerana telah menunjukkan pengorbanan, keberanian ketika menjalankan tugas dengan mengetepikan keselamatan diri dan mengalami kecederaan ketika menjalankan tugasan rasmi.

“Kerajaan juga akan menyegerakan pampasan daripada caruman yang dibuat Allahyarham sebanyak lebih RM200,000 dan akan diuruskan jabatan bomba,” katanya seperti dilaporkan Bernama selepas jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini hari ini. – MHE TV

Iklan