Pelakon dan pengacara jelita, Amelia Henderson baru-baru ini telah mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi Anugerah Model Asia 2019 yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan.

Menerusi entri yang dimuat naik pelakon kacukan India-Scothland itu di Instagram miliknya, Amelia yang mewakili Malaysia bersama peserta lain dari seluruh dunia, berkumpul di Festival Anugerah Model Asia yang ke-14 (AMFA) 2019 itu yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang.

“Terima kasih buat penganjur yang menjemput saya ke majlis anugerah ini. Saya sangat terharu dan gembira kerana dapat mewakili negara tercinta Malaysia.

“Mewakili rakyat Malaysia yang berada di tanah air, saya mengucapkan terima kasih dan kamsahamida,” ucap Amelia apabila menerima anugerah tersebut.

Selebriti berusia 23 tahun itu memberikan ucapan manis tersebut menerusi video yang dikongsikan dalam laman sosial miliknya.

Selain Amelia, model terkenal tanah air, Amber Chia turut hadir pada festival tersebut dan menjadi penyampai bagi Anugerah Fashionista kepada personaliti televisyen Ghana, Sam Okyere dan aktres Korea, Oh Na Ra.

Berlangsung di Dewan Olimpik, Seoul, Korea Selatan, festival tersebut dihadiri nama-nama besar selebriti Korea seperti Han Seung Yeon, Kim Hye Yoon, Eum Joon Suk, (G) I-DLE, Stray Kids dan bekas ahli kumpulan Wanna One, Park Ji Hoon dan Lai Kuan Lin.

Festival Anugerah Model Asia ialah satu platform budaya antarabangsa yang memperkenalkan model-model dari Asia yang terlibat di dalam bidang fesyen dan kecantikan kepada dunia. – MHE TV

Iklan