ERMA menyifatkan Zareef mempunyai bakat besar dalam industri seni tanah air

PENERBIT dan pengarah Erma Fatima menyifatkan anak lelaki kepada Datuk Eizlan Yusof iaitu Zareef Yusof ada ruang istimewa di hatinya.

Menerusi perkongsian video selama seminit yang dimuat naik dalam Instagram, Erma berkongsi foto-foto bersama dengan pelakon cilik berusia sembilan tahun berserta kapsyen.

“Dia sangat istimewa di hati aku. Seorang anak yang dibesarkan dengan kehidupan yang sangat selesa tetapi penuh dengan peradaban.

“Mulut tak lepas kata maaf. Dia tak sombong dengan kesenangannya, pandai beli jiwa semua orang.

“Beberapa hari sebelum kemalangan, dia tidur dengan aku. Kadangkala pergi set penggambaran satu kereta dengan aku, makan dan balik pun bersama,” luahnya dalam Instagram.

Malah, Erma turut mengimbau detik cemas apabila melihat kereta yang dinaiki Zareef untuk ke lokasi penggambaran drama Mak Cun 5 terlibat dalam kemalangan di Sekinchan, Selangor.

“Pagi itu dia berangkat ke set penggambaran dari hotel lima minit awal daripada aku. Bayangkan ketika melewati tempat kemalangan, aku nampak kereta dia dah terbalik.

“Aku berlari turun kereta dalam tangisan mencari dia. Aku nampak dia duduk di tepi jalan dalam keadaan terkejut.

“Alhamdullilah, malaikat jaga kau sayang, sedikit luka pun tiada. Aku tetap bawa dia ke hospital untuk pemeriksaan.

“Dan kau anak yang sangat kuat sayang. Tetap nak teruskan penggambaran. Terima kasih Allah kerana kau selamatkan dia daripada segalanya saat menghantar dugaan itu,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, pengarah berusia 51 tahun itu juga sempat menitipkan pesanan bermakna buat Zareef.

“Anakku, kau berbakat seperti ayahmu. Darah yang mengalir dalam tubuh kau ada darah seni.

“Tapi ini bukan tempat kau sayang. Ini hanya tempat untuk kau bermain. Kau ada tugas yang lebih besar yang harus diselesaikan iaitu persekolahanmu.

“Apa pun, kau selalu dan akan sentiasa berada di dalam hatiku,” luahnya.

Khamis lalu Zareef terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke set penggambaran Mak Cun musim kelima arahan Erma yang bakal ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.- MHE TV

Iklan