Tergamam sekejap melihatkan gambar kemalangan yang dimuat naik pengarah dan pelakon , Erma Fatima dalam laman Instagram miliknya.

Teruk juga melihatkan keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan itu. Sampai terbalik lagi!

Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah kerana telah menyelamatkan semuanya. Amin,” tulis Erma.

Namun persoalan tentang apa berlaku terjawab apabila Erma menjelaskan, dia tidak terlibat di dalam kemalangan tersebut.

Sebaliknya, salah seorang pelakon kanak-kanak untuk drama Mak Cun musim kelima, Zareef yang kemalangan.

Zareef hanya mengalami keadaan terkejut disebabkan kemalangan itu namun semuanya selamat.

“Kereta itu dipandu ibu saudara Zareef untuk pergi ke lokasi drama Mak Cun. Saya terkejut juga bila dapat tahu Zareef kemalangan. Alhamdulillah Allah telah menyelamatkan semua.

“Zareef telah dibawa ke hospital untuk periksa keadaannya dan alhamdulillah, dia okay,” kata Erma ketika dihubungi MHE TV.

Zareef merupakan anak lelaki tunggal kepada pelakon Datuk Eizlan Yusof. Zareef kini terlibat di dalam penggambaran untuk drama terbaharu Mak Cun musim kelima yang bakal ditayangkan di stesen televisyen pada 18 Julai ini. – MHE TV

Iklan