Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah yang boleh diibaratkan dengan remaja terpantas dunia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang berasal dari Perak.

Remaja berusia 15 tahun itu merupakan anak kepada Mohd Fahmi Tajudin, 50 yang merupakan bekas atlet olahraga dalam acara lari berpagar pada tahun 80-an.

Minggu lalu, Muhammad Azeem menggegarkan dunia apabila diktiraf sebagai remaja terpantas dunia untuk bawah umur 16 tahun (B 16).

Dalam acara 200 meter pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia di Johor, Azeem berjaya mencatat masa 21.24 saat.

Memetik laporan Bernama, katanya walaupun pernah mengalami kecederaan hamstring, namun ia tidak pernah mengikis semangatnya untuk menjadi pelari terbaik negara.

“Selain berjaya dalam bidang sukan, saya mahu berjaya dalam bidang akademik dan cita-cita saya adalah menjadi seorang guru,” kata anak keempat daripada lima adik-beradik ini.

Dalam pada itu, jurulatih Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, beliau yang membimbing Muhammad Azeem sejak tiga tahun lepas hanya mengimpikan yang terbaik buat remaja istimewa itu.

“Sebagai seorang jurulatih, saya mahukan yang terbaik buat anak didik saya dan harapan saya adalah untuk terus mencungkil lebih ramai atlet berbakat serta melahirkan atlet yang berilmu,” katanya. – MHE TV

Iklan