Anak angkat sulung kepada pelakon Angelina Jolie dan Brad Pitt iaitu Maddox Jolie-Pitt memilih Korea Selatan untuk menyambung pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang biokimia.

Maddox yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke18 pada 5 Ogos lalu, bakal mendaftar bulan ini di Universiti Yonsei, iaitu antara universiti swasta terbaik yang ada di Korea Selatan.

Universiti Yonsei yang terletak di Seoul adalah sebuah universiti swasta yang dibuka pada tahun 1885 dan antara tiga universiti elit terbaik di negara itu dengan 19,000 penuntut ijazah pertama, 8,000 penuntut sarjana dan 3,200 penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Menurut sumber portal majalah People, Maddox mendapat beberapa tawaran daripada universiti lain, tetapi memutuskan untuk memilih Yonsei.

“Maddox sudah lama membuat persediaan termasuk mengambil kelas bahasa Korea beberapa kali seminggu,” kata sumber.

Menurut sumber terdekat dengan Angelina, pelakon filem Maleficent itu merestui pilihan Maddox dan akan mengiringi anak lelakinya itu sewaktu pendaftaran nanti.

Spekulasi juga timbul tentang pemilihan Maddox untuk menyambung pengajian di Korea Selatan kerana disebabkan mahu menjauhkan diri daripada dunia glamor Hollywood.

Namun spekulasi itu disangkal sumber berkenaan apabila lokasi pilihan Maddox mungkin bersangkut paut dengan negara kelahirannya iaitu Kemboja, di mana keluarga Angelina turut mempunyai sebuah rumah.

Pilihan Maddox juga tidak mengejutkan ramai kerana beliau pernah dilihat melawat beberapa buah universiti di negara itu dengan ibunya tahun lalu.

Selain daripada Maddox, Angelina turut mempunyai tiga anak kandung iaitu Shiloh, 13, kembar Knox dan Vivienne, 11, serta dua anak angkat, Pax, 15, dan Zahara, 14. – MHE TV

Iklan