Vokalis kumpulan Gigi, Armand Maulana mendedahkan dia pernah menerima ancaman cerai oleh isterinya, Dewi Gita.

Bukan kerana dia gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga tetapi gara-gara dia hampir terlupa tarikh ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10.

“Ketika itu ulang tahun pernikahan kami yang ke-10 tahun. Saya pulang ke rumah selepas mengadakan konsert.

“Saat masuk ke dalam rumah, Dewi beritahu ada surat cinta darinya untuk saya,” kata pemuzik berusia 48 tahun itu ketika menjadi tetamu program ‘Okay Bos’, baru-baru ini.

Tambah Armad, dia sangat bahagia membaca kata-kata indah yang ditulis iterinya itu namun di akhir-akhir bacaannya, dia sangat terkejut.

“Isi surat itu mulanya penuh dengan kata-kata indah dan cinta.

“Tapi di akhir-akhirnya, Dewi menulis, “kalau tahun depan masih lupa tarikh pernikahan kita, saya kirim surat cerai ya,” sambung Armand lantas tertawa.

Oleh sebab itu, dia terus mendapat ilham untuk menciptakan lagu berjudul, 11 Januari.

Dengan terciptanya lagu tersebut, sekurang-kurangnya dia akan terus ingat tarikh perkahwinan sendiri.

“Nasib baiklah lagu itu popular, jika tidak tentu saya susah untuk ingat tarik pernikahan sendiri,” katanya lagi dengan nada bergurau.

Kini sudah 25 tahun mereka melayari bahtera rumah tangga yang bahagia.

Dalam pada itu, Armand mengaku, dia dan Dewi sesekali ada bertengkar dan berselisih faham namun menganggap itu perkara biasa dalam kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

“Kami tidak suka mencanang hal rumah tangga. Biarlah apa jua masalahnya, hanya kami berdua yang tahu dan selesaikan,” katanya.

Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Naja Dewi Maulana. – MHE TV

Iklan