Sebagai hadiah buat peminat di penghujung tahun 2018, penyanyi Ayda Jebat melancarkan lagu baharu berjudul Temberang. Lagu tersebut merupakan ciptaan dirinya sendiri dengan kerjasama Hael Husaini dan Ezra Kong.

Kata Ayda, Temberang mengetengahkan nilai kejujuran dan ketulusan dalam hidup. Sedikit sebanyak ia berkaitan dengan apa yang dia lalui sepanjang tahun ini.

“Kebetulan lagu ini sama mungkin ada kaitan dengan apa yang berlaku kepada saya tahun ini.

“Jika ada yang katakan saya menyindir pihak lain, terpulanglah. Siapa makan cili dia terasa pedasnya,” jelas Ayda.

Muzik video Temberang sudah dilancarkan pada 21 Disember lalu di laman Youtube dan akan berada di semua platform digital pada 28 Disember ini.

Ayda Jebat menyifatkan tahun 2018 ini sebagai sesuatu yang mencabar. Dalam menghadapi pelbagai kontroversi dan buah mulut orang, Ayda juga mengangggap perjalanan tahun ini mematangkan dirinya.

Dalam setiap kejadian yang berlaku, Ayda yakin ada hikmah di sebaliknya. Biarlah dibenci sekalipun, Ayda tidak pernah patah semangat. Apa yang penting buatnya, terus berusaha menghasilkan karya berkualiti untuk peminat.

“Tuhan beri saya ujian supaya saya sedar untuk buang orang-orang yang negatif dalam hidup ini. Saya tidak akan rapat dengan orang yang pada mulanya dianggap kawan, tetapi akhirnya tikam saya sendiri.

“Saya bukanlah seorang yang suka mendengar masalah orang kerana takut nanti akan menyampaikan kepada pihak lain dengan maklumat yang salah. Sebab itu saya jarang berbual jika di lokasi.

“Bukannya saya sombong tidak mahu berkawan dengan orang lain, tapi itulah hakikatnya. Saya juga ada masalah sendiri. Jika boleh selesaikan, tak perlu cerita pada orang lain.

“Semua yang telah berlaku saya anggap perkara remeh. Tidak ada pun yang memberi tekanan kerana ia tidak menjatuhkan kerjaya saya,” ujar pemilik nama penuh Nur Suhada Jebat ini. – MHE TV

Ruang komen
Iklan