Tinggal dua minggu saja lagi, penghibur antarabangsa, Jay Park bakal mengadakan konsert di Malaysia selepas kali terakhir membuat persembahan di sini enam tahun lalu.

Konsert siri jelajah Asia yang diberi nama, 2019 SEXY4EVA World Tour itu akan berlangsung pada 27 September ini bertempat KL Live Kuala Lumpur, pada pukul 8 malam.

Pada persembahan yang dijangka selama dua jam itu, penyanyi yang sinonim dengan jolokan Raja K-Hip Hop ini akan menghiburkan Jaywalkers (gelaran peminat) dengan koleksi lagu album terdahulu hingga terkini.

Kuala Lumpur menjadi destinasi kedua terakhir selepas Hong Kong, dua lokasi di Jepun iaitu Tokyo dan Osaka, Thailand dan Manila, Filipina.

Peminat boleh mendapatkan tiket-tiket dengan harga seperti RM705 untuk zon VIP dan berpeluang bertemu secara eksklusif dan bergambar dengan Jay Park. Manakala dua lagi di zon berdiri yang berharga RM370 dan RM290.

Konsert anjuran Onion Production ini adalah konsert pertama Jay setelah beberapa kali persembahannya yang dijadualkan di sini tertunda. Termasuklah dua konsert iaitu K-Fun stage pada 2015 dan konsert diberi nama Above Ordinary, pada tahun lalu.

Memulakan kerjaya sejak 2008, Jay atau nama sebenarnya Park Jae Beom mencetuskan sensasi di seluruh dunia bermula sebagai ketua kumpulan popular, 2PM.

Selepas keluar dari kumpulan tersebut, dia berjaya menubuhkan bukan satu tapi dua label muzik Hip-Hop, AOMG (2013) dan H1gher Music (2017).

Penulis lagu, penerbit, penari, usahawan dan pelakon berusia 32 tahun ini sekarang bernaung di bawah naungan pengurusan Roc Nation iaitu sebuah syarikat hiburan milik penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Jay- Z.

Jay pernah berkolaborasi dengan penyanyi tanah air seperti Mizz Nina menerusi lagu Around The World, Joe Flizzow untuk lagu Twisted Dream’s (dimuatkan dalam album Jay bertajuk All The Way Up dan Yuna dalam lagu bertajuk, Does She.

Juri rancangan Asia’s Got Talent ini juga melancarkan album terbaharu berjudul The Road Less Traveled, pada Jun lalu.

Maklumat lanjut mengenai konsert 2019 SEXY4EVA World Tour in Kuala Lumpur, boleh layari www.facebook.com/onionproduction.

Iklan