Tiada sebarang dendam seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Begitulah diibaratkan hubungan antara balu penyanyi legenda Allahyarham Saleem, Juriah @ Julia Bachok dengan anak tirinya penyanyi popular, Syafiq Farhain.

Konsert tribute Suara Emas Satu Kesan Abadi yang bakal dilangsungkan pada awal November ini di Panggung Asia, Gombak bakal menjadi saksi Juriah dan Syafiq sudah melupakan kisah lama dan bergabung demi Allahyarham Saleem.

Selaku Pengarah Urusan Salju Entertainment yang menganjurkan konsert ini, Juriah mahu semua yang datang mengenang Saleem termasuklah Syafiq yang kini mengikut jejak langkah menjadi penyanyi.

“Memang pihak kami ada menjemput Syafiq untuk sama-sama menjayakan konsert istimewa buat arwah bapanya ini.

“Sudah tentu saya tidak akan ketepikan dia. Dia anak Saleem. Doakanlah agar perjalanan konsert ini nanti berjalan dengan lancar dan segalanya dipermudahkan.

“Ini kerana konsert ini bukan sekadar mengenang jasa arwah kepada industri, tetapi ia mempunyai matlamat yang lebih besar iaitu mahu membantu mereka yang memerlukan. Kami akan memilih badan kebajikan untuk menyalurkan bantuan ini.

“Pada malam itu nanti, semua lagu yang akan dipersembahkan adalah lagu-lagu daripada Saleem sahaja. Tiada lagu penyanyi lain.

“Ia dirasakan langkah yang baik sebagai apresiasi kepada insan legenda yang telah pergi meninggalkan kita semua.

“Kami percaya Saleem masih mempunyai peminat dan ada antara rangkaian lagu-lagunya malar segar yang menjadi siulan peminat dari pelbagai usia. Saya mahu Saleem terus diingati,” katanya.

Lebih menarik tambah Juriah, konsert tersebut akan diserikan dengan nyanyian oleh beberapa artis hebat seperti Shima dan Zaiton Sameon yang akan menyanyikan lagu Saleem dengan gaya tersendiri.

“Tambah pula, mereka mempunyai pengalaman bersama ketika arwah masih hidup. Sudah tentu mereka boleh berkongsi pengalaman sepanjang mengenali arwah sepanjang konsert itu berlangsung nanti.

“Insya-Allah, ada lagi beberapa orang penyanyi yang menyertai konsert tribute ini,” luah Juriah yang turut menjemput dan sedang mendapatkan persetujuan Datuk Awie, Zamani dan Ameng untuk menjayakan konsert ini.

Sempena konsert tribute ini, para peminat boleh membeli tiket dengan harga RM150 seorang atau RM1,500 satu meja. – MHE TV

Iklan