Isu drama ‘sampah’ sering dipersoalkan bukan sahaja kepada pengarah tetapi juga penerbit dan penulis skrip.

Orang ramai terutama warganet kini lebih berani mengkritik penggiat seni dan kemampuan mereka dalam menghasilkan drama.

Bagi penerbit drama Zeel Production, Fadzil Teh, definisi drama sampah itu sebenarnya mempunyai banyak maksud berbeza.

Namun dia bersyukur setakat ini drama-drama terbitannya tidak pernah dilabelkan ‘sampah’.

“Setakat ini Alhamdulillah, tak pernah lagi drama saya dikritik sebegini tapi saya tak nafikan warganet sekarang sudah kuat komplen sehingga ada kalanya kami tak tahu apa yang mereka mahukan.

“Namun saya kagum dengan warganet, mereka kini bukan sahaja menonton jalan cerita tetapi peka dengan persekitaran dalam drama, jadi penerbit drama sekarang tidak boleh buat kerja asal boleh sahaja,” jelas Fadzil yang popular dengan panggilan Haji Zil.

Dalam pada itu, Haji Zil mengakui menerima pelbagai mesej dalam laman sosial daripada peminat yang mahu mencuba nasib sebagai pelakon.

“Setiap hari saya dapat macam-macam mesej dalam Instagram, kebanyakan dari Perlis dan Kedah.

“Mereka kata minat sangat nak berlakon dan mahu mencuba nasib berlakon dalam produksi saya,” jelas Haji Zil.

Haji Zil dan Datuk A. Aida menjadi tetamu dalam program terbaharu Utusan Online berjudul Let’s Bawang yang bakal bersiaran bermula Ogos ini. – MHE TV

Iklan