Sebelum ini, penyanyi Hazama telah memuat naik gambar dirinya bersama seorang polis Thailand dalam laman Instagram miliknya.

Ramai yang tertanya-tanya apakah tujuan sebenar Hazama berkongsi gambar tersebut.

Ditemui sewaktu sesi taklimat media Mentor Milenia di Bandar Utama, Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 35, mendedahkan perkara sebenar.

Hazama memuat naik gambar bersama polis Thailand yang menimbulkan pertanyaan peminat.

“Saya disaman sewaktu bercuti di Thailand baru-baru ni. Masa tu saya pergi berdua sahaja dengan isteri.

“Bukan pasal kes jenayah pun tapi hanya disebabkan saya salah parking kereta di tempat tidak sepatutnya.

“Perkara tu secara tak sengaja sebab saya tidak tahu di situ ialah kawasan larangan.

“Yelah, mana nak faham tulisan mereka. Saya terpaksa ke balai polis untuk menyelesaikan saman tersebut.

“Saya kena bayar saman 500 baht. Kalau duit Malaysia dalam RM66.54 sahaja,” kata Hazama kepada MHE TV.

Jelas Hazama, dia merasakan apa yang berlaku bukan satu isu besar kerana pasti terdapat rakyat Malaysia yang pernah mengalami keadaan sama sepertinya.

Ujar Hazama lagi, dia memilih Thailand untuk bercuti kerana faktor jarak yang dekat selain bajet yang mencukupi.

“Sebelum ini, nama saya disenarai hitam dan tidak dibenarkan untuk keluar ke luar negara.

“Jadi, selepas dua tahun berkahwin, inilah peluang saya untuk pergi berbulan madu,” kata Hazama yang menjelaskan sudah membayar cukai sepenuhnya.

Hazama bersama barisan terbaharu untuk program Mentor Milenia 2019.

Sementara itu, penyanyi lagu Relakan Jiwa ini masih kekal sebagai mentor untuk musim terbaharu program Mentor Milenia untuk tahun 2019.

Selain Hazama, penyanyi Akim Ahmad dan Black Hanifah turut dikekalkan sebagai mentor bersama dua mentor baharu, Stacy Anam dan Ernie Zakri. – MHE TV

Iklan