Gigi susu yang tumbuh di mulut Avery dikaitkan dengan satu proses pertumbuhan gigi di awal kelahiran iaitu natal teeth.

Seorang ibu dari England tidak menyangka bayi perempuannya yang baru dilahirkan pada 16 Januari lalu memiliki sebatang gigi susu pada bahagian bawah mulut.

Perkara itu diketahui Bethany Green, 18, sebaik sahaja seorang jururawat yang menyambut kelahiran bayi tersebut memberitahu melihat sebatang gigi di mulut bayinya yang bernama, Little Avery.

Secara normalnya gigi pertama akan tumbuh apabila bayi berusia empat hingga tujuh bulan.

Ia suatu keadaan mengejutkan apabila Avery yang kini baru berusia empat minggu memiliki sebatang gigi susu yang matang.

Susulan itu, bayi perempuan ini terpaksa mendapatkan khidmat rawatan susulan dan menjadi pesakit termuda di sebuah klinik pergigian Genix Healthcare, Blackpool, Lancashire, England.

Berdasarkan pemeriksaan lanjut oleh doktor mendapati, gigi susu yang tumbuh awal di mulut Avery dikaitkan satu proses pertumbuhan gigi di awal kelahiran. Ia digelar sebagai natal teeth.

Dianggarkan, satu kes direkodkan bagi setiap 2,000 bayi yang mengalami pertumbuhan gigi ketika dilahirkan.

Bethany Green bersama bayinya, Little Avery.

Meskipun berkeadaan sebegitu, Avery tetap disayangi oleh semua keluarganya. Dia langsung tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik dan sama seperti bayi normal lain.

Sementara itu, Perunding Pergigian Pediatrik dari Universiti Lancashire (UCLAN), Profesor Richard Welbury berpandangan, kes sebegini sudah biasa berlaku ketika seseorang bayi dilahirkan.

Mungkin disebabkan ia jarang berlaku maka dianggap pelik oleh sesetengah orang.

Bagaimanapun, beliau menyarankan agar gigi berkenaan dicabut bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Sebagai contoh, gigi susu ini berkemungkinan besar akan tertanggal lebih awal dan tidak mustahil boleh menyebabkan bayi tercekik gigi tanpa disedari.

Selain itu, bayi juga kemungkinan akan menyemburkan banyak air liur di bawah lidah. Ia juga boleh menyebabkan kesakitan kepada ibu apabila digigit ketika mahu menyusukan anak mereka. –MHE TV

Sumber: Mirror

Iklan