Trending Video

Bayar 3.9 juta rupiah jika mahu tuntut jenazah korban tsunami

Semalam, agensi berita tempatan Indonesia, detik.com melaporkan tentang dakwaan ahli keluarga korban tsunami Selat Sunda terpaksa membayar sejumlah wang sebelum dibenarkan menuntut jenazah ahli keluarga mereka.

Difahamkan, situasi tersebut berlaku ketika salah seorang ahli keluarga mangsa yang ingin menuntut jenazah ahli keluarganya di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD), Dradjat Prawiranegara Serang.

Menurut wakil ahli keluarga itu, Badiman Sinaga, dia mengaku terkejut sebaik sahaja diminta membayar 3.9 juta rupiah (RM1115.76). Dia diminta untuk menjelaskan bayaran itu bagi menuntut tiga jenazah ahli keluarga iaitu Ruspita Simbolon dan Satria Sinaga, 6 bulan, dan Timoty Simbolon, berumur 11 tahun.

Difahamkan, ketiga-tiga ahli keluarganya tidak sempat menyelamatkan diri ketika bercuti di Carita, Pandeglang, Banten.

Jelas Badiman, bayaran itu tertakluk pada khidmat van jenazah, bahan pengawet dan proses memandikan mayat. Tambahnya, bayaran tersebut turut disertakan resit rasmi.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut disangkal oleh Pengarah RSUD Serang, Sri Nurhayati. Pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan untuk meminta bayaran bagi tujuan menuntut jenazah korban tsunami.

Tegasnya, perkara itu di luar pengetahuan pengurusan pihaknya. -MHE TV

Sumber gambar: Reuters

Ruang komen