Bagaikan luruh jantung sepasang suami isteri saat berdepan detik cemas setelah mendapati bayi perempuan mereka berusia tiga bulan terperangkap di tempat duduk belakang secara tidak sengaja.

Kejadian di perkarangan Pejabat Pos Slim River pada jam 1.50 petang semalam itu berlaku sebaik ibu bapa dan abang kepada bayi tersebut berusia dua tahun keluar serentak dari kereta jenis Toyota Vios dan pintu tiba-tiba terkunci. 

Ketika kejadian, keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Shah Alam ke Teluk Intan dan singgah di pejabat pos tersebut untuk menyelesaikan beberapa urusan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Mohd. Fazrul Azuan Norman berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada seorang anggota polis yang berada di Pondok Polis berhampiran pejabat pos berkenaan pada pukul 1.52 petang.

Ekoran kejadian, tujuh anggota dihantar ke lokasi bagi menyelamatkan bayi terbabit.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, bayi itu masih berada di dalam kereta dan anggota menggunakan peralatan khas untuk membuka salah sebuah pintu kereta itu.

“Anggota mengambil masa dua minit untuk membuka pintu dan menyelamatkan bayi tersebut. Bayi yang dalam keadaan baik itu diserahkan kembali kepada ibu bapanya,” katanya kepada Utusan Online. – MHE TV

Sumber gambar: Ihsan Bomba 

Iklan