Misi Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ke China dikejutkan dengan satu insiden kesalahan ejaan oleh sebuah stesen televisyen negara itu, Pakistan Television (PTV) ketika liputan berita lawatan pemimpin tersebut ke China.

Pemimpin tersebut kini berada di China dalam usaha memohon bantuan kewangan bagi menamatkan krisis imbangan pembayaran selepas memperoleh dana sokongan sebanyak AS$6 bilion (RM25 bilion) daripada Arab Saudi dan sebelum Pakistan berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), lapor Reuters.

Kesalahan ejaan itu merujuk pada perkataan ibu negara China iaitu ‘Beijing’ telah tersalah eja menjadi ‘Begging’. Lebih memalukan, ia disiarkan secara langsung di stesen televisyen berkenaan.

Akibat kecuaian itu, Kementerian Maklumat Pakistan telah memecat pemangku pengarah urusan PTV, Hasan Immad Mohammadi serta-merta biarpun baru beberapa minggu menjawat jawatan tersebut.

Sementara itu, PTV telah membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung perkara itu.-MHE TV

Iklan