Jika berbicara perihal legenda Raja Pop, Michael Jackson (MJ) atau lebih panggilan popular Jacko pasti tiada kesudahannya. Kejayaannya dalam dunia muzik menjadikannya ikon paling dikagumi di seluruh dunia. Malah kehebatannya mencipta tarian yang dikenali sebagai ‘moonwalk’ dengan gerak tari berdiri senget seolah-olah hendak terjatuh sukar ditiru oleh penari lain.

Popularitinya sejak muncul dalam bidang muzik pada tahun 1971 sehingga kematian menjemputnya pada tahun 2009 tidak pernah pudar. Malah setelah ketiadaan dirinya, seluruh dunia masih berlumba-lumba menggali cerita tentang kisah kehidupannya yang dikira agak misteri itu.

Dalam banyak-banyak sisi kisah hidupnya, ramai yang masih mencari kesahihan jawapan adakah dia sebenarnya telah pun memeluk agama Islam. Khabar angin tentang pengislamannya itu mula tersebar setahun sebelum bintang pop ini meninggal dunia. Namun cerita-cerita tersebut seperti angin lalu memandangkan ia merupakan perkara yang agak sensitif untuk dibahaskan.

Tidak kurang juga yang mengatakan, dia telah pun mengikut jejak langkah salah seorang abangnya, Jermaine Jackson yang telah memeluk Islam selain nama-nama besar seperti Cat Steven, Muhammad Ali, Stevie B dan mungkin juga Puteri Diana. Ketika dia meninggal pada usia 50 tahun dan diklasifikasikan sebagai masalah kegagalan jantung, Jacko dikatakan telah menukar namanya kepada Mikaeel.

Menerusi akhbar The Sun bertarikh November 2008, Jacko yang memeluk Islam dan ingin dikenali sebagai Mikaeel telah menyarung pakaian sopan seperti penganut agama Islam yang lain dalam satu upacara di sebuah rumah agam milik Steve Porcaro, yang terletak di Los Angeles. Steve merupakan seorang komposer yang menghasilkan albumnya, Thriller.

“Dia dilihat duduk bersila di atas lantai dengan memakai topi kecil (songkok) seperti yang sering dipakai oleh seorang Muslim. Dalam masa yang sama kelihatan seorang Imam membawa senaskhah Al-Quran datang kepadanya. Serentak dengan itu, Jacko diajar untuk mengucap kalimah syahadah.

Perkara tersebut berlaku beberapa hari sebelum penyanyi itu hadir ke Mahkamah Tinggi London kerana disaman oleh seorang warga negara Arab,” ujar sumber.

Selain itu, Jermaine Jackson juga pernah memberi gambaran kepada media seolah-olah adiknya itu sedang dalam proses untuk memilih Islam sebagai agamanya.

“Sejurus selepas pulang dari Mekah, saya ada memberinya banyak buku tentang Islam. Ternyata dia seperti tertarik untuk mengenal secara lebih mendalam lagi. Saya ada mengatakan kepadanya bahawa sesungguhnya Islam itu damai dan indah sekali,” ujarnya yang memeluk Islam sejak tahun 1989.

Bintang yang popular dengan lagu Black or White itu juga dilihat sering bertemu dengan penulis lirik lagu yang beragama Islam, David Wharnsby dan Philip Bubal ketika berada di London. Serentak dengan itu, dia memutuskan untuk menukar lokasi rakaman album baru dengan menggunakan studio lain.

Tambah meyakinkan lagi dakwaan tersebut apabila dia dikatakan telah menyanyikan sebuah lagu nasyid yang berjudul Give Thanks to Allah pada tahun 2006. Lagu yang mendayu-dayu memuji Tuhan itu tular di internet. Biarpun tidak dapat dipastikan adakah suara itu miliknya atau bukan namun ia saling tak tumpah seperti suaranya.

Tidak kurang juga ramai yang terharu dan insaf apabila mendengar lagu nasyid tersebut. Lagu yang diharamkan penyiarannya di Amerika Syarikat itu bagaimanapun cukup popular dalam kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia. Di kebanyakan negara misalnya stesen televisyen dan radio menyebutnya sebagai lagu nasyid MJ.

Lagu Milik Zain Bhika

 

Give thanks to Allah,

for the moon and the stars

prays in all day full,

what is and what was

take hold of your iman

dont givin to shaitan

oh you who believe please give thanks to Allah.

 

Antara bait-bait lirik yang dikhabarkan didendangkan oleh Jacko. Namun setelah beberapa ketika seluruh dunia yakin suara tersebut milik legenda pop itu, secara tiba-tiba muncul pula penyanyi serta penulis lirik nasyid terkenal dari negara Arab yang dikenali sebagai Zain Bhikha mengatakan lagu tersebut miliknya.

Zain, 44, yang menetap di Johannesburg, Afrika Selatan dikatakan sering bekerjasama dengan Yusuf Islam yang merupakan bekas penyanyi Cat Stevens. Mereka pernah berkolaborasi bersama dalam menerbitkan album. Menurut penyanyi itu dalam laman blognya, dia banyak menerima emel serta panggilan telefon daripada orang ramai yang bertanyakan tentang lagu Give Thanks to Allah.

“Ramai yang mengajukan soalan adakah benar lagu tersebut milik saya. Di sini saya ingin menegaskan bahawa Michael Jackson tidak pernah menyanyikannya. Saya yang bertanggungjawab menulis serta merakamnya. Lagu itu dicipta sebagai lagu khas buat kanak-kanak yang sedang membesar,” tulisnya.

Biarpun ramai yang masih tidak mempercayai tentang kebenaran di sebalik lagu tersebut namun Zain sedikit pun tidak pernah ambil hati mengenainya. Malah dia cukup berbangga mendapat tahu ramai yang terbuka hati untuk memilih Islam kerana mendengar suara yang disangkakan milik bintang pop tersebut.

Pun begitu pada tahun 2009, laman BBC dan MSNBC turut melaporkan, Michael bakal mengadakan konsert di seluruh kota London pada 25 Julai 2009. Ketika itu terdapat khabar angin yang mengatakan dia bakal menyanyikan lagu Give Thanks to Allah di dalam konsertnya. Dalam masa yang sama, dia juga berhasrat untuk berduet bersama Cat Stevens.

Terdapat juga khabar angin yang mengatakan penyanyi itu bakal mengumumkan berita pengislamannya kepada dunia pada konsert tersebut. Namun semuanya tidak menjadi kenyataan apabila sebulan sebelum konsert yang dikenali sebagai This Is It Michael Jackson itu ditemui tidak sedarkan diri.

 

Belum mati

Biarpun sudah lebih sembilan tahun meninggal dunia namun peminat fanatik Jacko masih menganggap penyanyi kesayangan mereka itu masih hidup. Sejak pemergiannya sehingga ke hari ini pelbagai cerita tentangnya masih diperkatakan umum. Ada beberapa pihak yang turut mendakwa penyanyi itu memalsukan kematiannya.

Seperti yang didakwa oleh laman Express bertarikh 25 Mei 2016, Jacko kini sedang berada di Kanada atau Afrika. Hal itu berdasarkan sebuah video yang menunjukkan seorang lelaki mirip penyanyi tersebut dalam sebuah konsert yang sedang berlangsung.

Video yang telah ditonton lebih 1 juta kali itu turut mempertikaikan kejadian semasa upacara pengebumiannya di Staples Center. Ini berikutan mayatnya tidak dibuka serta diperlihatkan kepada umum ketika upacara berlangsung. Dalam masa yang sama, video tersebut juga memaparkan imej Jacko turun daripada ambulans yang membawanya.

Walau bagaimanapun ibu Jacko, Katherine Jackson menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut. Menurut Katherine, anaknya telah lama meninggal dunia dan segala yang ada di dalam video tersebut adalah palsu semata-mata.

“Hentikan cerita yang mengarut seperti ini. Biarkan dia bersemadi dengan tenang. Jika dia melihat perkara ini sudah pasti dia terkejut kerana dia tidak mahu hidup sebagai orang terkenal lagi,” ujar Katherine. – MHETV

Iklan