Penyanyi Zamani Ibrahim mengakui terpaksa berehat sepanjang bulan Ramadan nanti bagi menjalani rawatan rapi terhadap masalah tulang belakang yang ditanggungnya selama ini.

Zamani, 47, yang juga vokalis kumpulan Slam berkata, dia telah membuat pemeriksaan kali pertama sebelum ini di Hospital Kuala Lumpur, manakala rawatan selanjutnya akan dilakukan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Katanya, rawatan itu perlu dilakukan segera kerana dia kini kerap mengalami sakit-sakit belakang berikutan terlalu banyak pergerakan dan terpaksa bergantung pada ubat tahan sakit. 

“Tahun ini saya banyak terbabit dengan persembahan berskala besar, dua tiga konsert berlangsung sejak Januari lalu membuatkan saya terpaksa melakukan pergerakan yang banyak. 

“Ada kalanya bila sakit menyerang saya terpaksa baring meniarap kerana tidak tahan jika terus berdiri atau duduk. Jadi bulan Ramadan ini adalah masa yang sesuai untuk berehat dan menjalani rawatan. 

“Saya tidak pasti apa kaedah rawatan yang akan dijalankan namun saya pinta untuk tidak dibedah,” jelas Zamani ketika ditemui pada sidang akhbar Pelancaran Single Aduh, semalam. 

Dalam single terbaharunya itu, Zamani yang juga salah seorang penulis lirik untuk lagu Aduh berkata, dia mengambil masa agak lama untuk menyesuaikan diri dengan lagu berentak pop itu.

“Saya ambil masa untuk mendapatkan momentum lagu ini, walaupun agak berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini namun ‘penanda arasnya’ masih ada. 

“Saya sudah berjanji jika saya kembali semula, saya akan keluar dengan lagu-lagu yang mengikut arus sekarang. Ia lebih relevan untuk zaman ini,” jelas Zamani. – MHE TV

Iklan