AR Badul kelihatan ceria sewaktu lawatan YKAT di IJN pada 19 Februari lalu. Beliau kini sudah keluar hospital dan sedang berehat di kampung di Pahang.

Awal pagi ini, berita kematian AR Badul menjadi tular dalam laman sosial, termasuk melalui aplikasi Whatsapp kalangan karyawan seni dan media. 

Sebahagian besar mereka bertanyakan mengenai kesahihan cerita itu yang katanya mula dicetuskan oleh sebuah blog hiburan.

Namun Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave menyangkal  dakwaan tersebut.

Menurut DJ Dave, beliau sendiri mendapat banyak panggilan telefon dan mesej bertanyakan hal itu pada awal pagi Sabtu ini. 

“Satu sikap yang tidak baik dan tidak bertanggungjawab apabila ada pihak yang sebarkan berita palsu berkaitan kematian AR Badul pagi ini.

“Baru sebentar tadi saya sendiri bercakap dengan AR Badul. Dia telah pun keluar hospital dan keadaannya sudah semakin baik.

“Sekarang AR Badul sedang berehat di kampung, di Pahang sesudah beberapa hari keluar dari Institut Jantung Negara (IJN),” kata DJ Dave kepada MHE TV. 

Berharap agar cerita tidak elok sebegini dihentikan segera, menurut DJ Dave sesebuah berita kematian sesiapa sahaja perlu disahkan oleh anggota keluarga sendiri. 

“Jika tidak sahih berita itu, janganlah kita tulis di media sosial mahupun bercerita kepada pihak lain. 

“Cerita tidak betul seperti ini akan menimbulkan panik kepada orang lain dan menyebabkan perasaan artis itu sendiri dan keluarganya tercalar,” nasihat Dave yang turut melawat AR Badul di IJN pada Isnin lalu. 

AR Badul telah menjalani pembedahan angiogram di IJN pada Ahad lalu.

Beliau dijangka akan sekali lagi menjalani pembedahan kedua pada awal Mac ini. – MHE TV

Iklan