Kontroversi mengaitkan antara Ernie Zakri dan bekas syarikat rakaman dan pengurusannya, FMC Music berhubung status lagu Misteri masih lagi diperkatakan hingga kini.

Kegagalan lagu tersebut mara ke peringkat semi final Muzik-Muzik ke-33 telah menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga menyebakan kedua-dua belah pihak berbalas kenyataan.

Biarpun begitu, Ernie beranggapan rezeki tidak memihak kepadanya pada tahun lalu untuk mara lebih jauh berbekalkan karya ciptaan Gouffran dan Sang Hitam itu.

“Saya enggan memanjangkan isu ini. Cuma saya berani janji, untuk tempoh setahun, saya takkan nyanyikan lagu ini sekali pun ada permintaan.

“Banyak lagi lagu lain yang boleh saya nyanyikan. Apapun, keputusan saya ini tiada unsur dendam,” tegasnya.

Dia berkata demikian sewaktu ditemui pada sidang akhbar An Afternoon of Elegance With Syamel and Ernie Zakri yang diadakan di Hotel Marriot Putrajaya hari ini.

Berbicara lanjut tentang persembahan duetnya sempena Minggu Setiausaha pada 24 April ini, Ernie akui berasa gementar kerana rata-rata penyanyi yang diberi peluang menjayakannya adalah penghibur berprofil tinggi.

“Saya ambil tanggungjawab ini untuk melakukan yang terbaik dan dengan kehadiran Syamel di sisi, saya berasa lebih yakin.

“Semoga persembahan ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan,” ujarnya menitip doa dan harapan. – MHE TV

Iklan