Pelakon remaja yang popular menerusi siri Descendants and Jessie, Cameron Boyce meninggal dunia pada 6 Julai (Sabtu), di Los Angeles.

Berita sedih itu disahkan oleh keluarga pemuda berusia 20 tahun ini.

Cameron menemui ajal ketika sedang tidur selepas dia mengambil ubat ketika menerima rawatan.

“Dengan hati yang sangat berat, kami mengesahkan bahawa pagi ini kami kehilangan Cameron.

“Seluruh ahli keluarga berasa sangat sedih dan memohon privasi untuk menghadapi tempoh yang begitu sukar ini,” kata wakil keluarga mendiang.

Berita pemergian Cameron mengejutkan dunia Hollywood. Akaun Instagram mendiang yang mempunyai lebih sembilan juta pengikut dibanjiri dengan ucapan takziah daripada penggiat seni juga warganet.

Malah sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir dia ada mengemaskini akaun media sosial miliknya.

Mula berlakon sejak usia sembilan tahun, Cameron membintangi filem seram pertamanya bertajuk Mirror. Dia pernah terbabit dalam filem yang dibintangi Adam Sandler bertajuk Grow Ups (2008).

Antara filem lain yang dijayakan seperti Grown Ups 2, Good Luck Charlie, Shake It Up dan Ultimate Spider-Man.

Tahun lepas, dia menjalani penggambaran filem Descendants 3 dan tayangan filem tersebut dijadualkan pada Ogos depan.

Baru-baru ini Cameron ada menerima tawaran dan sepatutnya muncul dalam siri HBO Puan Fletcher dan siri Paradise City. -MHE TV

Iklan