Legenda seni mempertahankan diri Hong Kong, Jet Li sekurang-kurangnya memberi perkhabaran gembira kepada peminatnya apabila dia sekarang kelihatan lebih sihat berbanding sebelum ini ketika hadir di sebuah majlis anugerah baru-baru ini.

Sekitar tahun lalu, pelakon berusia 56 tahun ini dilaporkan menderita sakit setelah disahkan mengidap penyakit hipertiroidisme dan masalah tulang belakang.

Khabar mengenai kesihatan bintang filem Romeo Must Die dan The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor ini semakin menjadi tumpuan umum selepas foto-foto yang menunjukkan keadaannya yang uzur dan dikatakan memerlukan bantuan orang lain setiap kali mahu bergerak, tular di media sosial.

Hipertiroidisme adalah sejenis penyakit yang jarang dihidapi ramai orang. Penyakit ini mempercepatkan metabolisme tubuh sehingga menyebabkan kehilangan berat badan, degupan jantung menjadi cepat dan tidak teratur.

Tetapi pada malam Isnin lalu, Jet Li digambarkan boleh berbual dengan baik dan tersenyum ketika duduk bersebelahan dengan jutawan yang juga merupakan Pengerusi Kumpulan Alibaba, Jack Ma, pada majlis Anugerah Guru (Rural Teacher Awards 2018) anjuran Yayasan Jack Ma yang berlangsung di Sanya, wilayah Hainan, China.

Jet Li kelihatan sihat dengan imej kemas berambut hitam serta bercermin mata dan memakai baju jaket denim berwarna biru.

Sepanjang anugerah tersebut berlangsung, dia dan Jack Ma duduk di barisan paling hadapan dan menyaksikan acara sehingga tamat. Dia juga tidak lekang memberikan senyuman ketika gilirannya berada di pentas untuk menyampaikan salah satu anugerah pada malam itu.

Penampilan terbaharu Jet Li yang kelihatan sudah semakin sihat.

Berbeza sekali dengan penampilannya pada Mei 2018 ketika dia melawat kuil di Chengdu. Semasa itu, dia kelihatan sangat lemah, rambutnya berwarna putih dan kepalanya seperti hampir botak.

Tidak mahu membuat peminatnya semakin risau, bintang filem Lethal Weapon 4 dan Kiss of the Dragon menulis di akaun sosial Facebook miliknya meyakinkan peminat yang beliau dalam keadaan sangat baik.

Pengurusnya, Steven Chasman juga berkata, “Tidak ada apa-apa yang yang tidak kena dengan beliau (Jet Li), tiada rawatan pemulihan kesihatan. Dia berada dalam keadaan baik.

Jet Li dan Jack Ma ketika hadir di sebuah majlis anugerah pada tahun lalu.

Tahun lalu, media juga melaporkan Li dan Jack Ma juga kelihatan bersama di sebuah majlis anugerah dan ketika itu dia masih kelihatan seperti kurang sihat tidak seperti penampilannya yang terbaharu ini.

Jet Li dan Jack Ma bersahabat baik sejak mereka bergandingan dalam filem pendek berjudul Gong Shou Dao.- MHE TV

Iklan