Botol sos tomato bertatu Ed Sheeran dilelong RM18,521

Tiga botol sos tomato edisi terhad Heinz, yang tertera tatu Ed Sheeran berjaya dilelong sekaligus dengan harga £3,650 pound (RM18, 521), baru-baru ini.

Tambah istimewa, lukisan pada botol edisi tatu yang diberi nama, Ed Sheeran X Heinz Tomato Ketchup, menggunakan dakwat yang sama dengan tatu penyanyi lagu Perfect itu.

Hanya 150 botol dikeluarkan sempena meraikan ulang tahun ke-150 jenama sos tersebut.

Tiga botol pertama yang dijual dalam satu acara lelongan di London pada 15 Ogos lalu itu berharga £1,050, £1,100 dan £1,500.

“Ia istimewa kerana, peminat boleh ‘memiliki’ tatu Ed Sheeran yang ada pada label botol itu kata Pengarah Perhubungan Koporat Heinz Kreatif, Nigel Dick.

Tambah Nigel, pihaknya menjangka tidak ramai pembeli yang akan membuka dan menikmati sos itu kerana mereka sangat sukakan label tersebut dan akan hanya menyimpannya.

Sementara itu sebanyak 104 botol akan dijadikan hadiah dalam satu cabaran global.

Peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai cabaran tersebut dalam akaun Ed Sheeran.

Manakala bakinya akan dilelong kepada peminat setia Ed Sheeran dan Heinz atau di simpan di muzium.

Semua wang hasil lelongan akan disumbangkan kepada badan amal kebajikan kanak-kanak (East Anglia’s Children’s Hospices) dan organisasi antarabangsa, Rise Against Hunger.

Ed Sheeran, 28, sebelum ini pernah mendedahkan dia adalah penggemar tegar sos tersebut. Sebagai bukti, dia mencucuh tatu lukisan simbol sos berkenaan di lengannya.

Awal tahun ini, Ed Sheeran berkolaborasi dengan Heinz untuk “Tomato Edchup” dan menjayakan iklan promosi edisi label tersebut. – MHE TV

Iklan