Anak sulung Brad Pitt memberitahu, dia tidak pasti sama ada aktor itu akan melawatnya di universiti atau tidak. Besar kemungkinan, tidak.

Baru-baru ini Maddox yang menuntut di Universiti Yonsei, di Seoul dikerumuni sekumpulan paparazi yang menunggunya di luar pagar kampus.

Remaja berusia 18 tahun itu diasak dengan pelbagai pertanyaan termasuklah adakah ayahnya itu akan datang menjeguknya?

“Saya tidak tahu, tidak pasti apakah ia akan berlaku,” jawab penuntut jurusan Kimia-Bio itu.

Awal bulan ini, media melaporkan Angelina Jolie seorang saja yang mengiringi kemasukan anaknya semasa di hari pendaftaran.

Khabarnya Brad Pitt tidak diundang sama untuk menghantar Maddox melanjutkan pelajaran di Korea. Berita anaknya menyambung pengajian pun diketahui sebulan selepas tersiar laporan media.

“Maddox seperti tidak lagi menganggap dirinya sebagai anak Brad Pitt,” kata satu sumber.

Hubungan Brad Pitt dan Maddox dikatakan mula renggang sejak tiga tahun lalu selepas terjadi satu insiden buruk melibatkan dua beranak itu ketika mereka sekeluarga berada dalam pesawat peribadi.

Insiden itu khabarnya serius hingga melibatkan campur tangan pihak kebajikan kanak-kanak yang menjalankan siasatan ke atas Brad Pitt. Namun pelakon itu dibebaskan selepas memberi keterangan.

Timbul spekulasi, insiden tersebut menjadi antara faktor yang mendorong Angelina memfailkan cerai terhadap Brad Pitt selepas 11 tahun mereka hidup bersama.

Selama bersama, pasangan itu membesarkan enam orang anak (termasuk Maddox). Tetapi kesemua anak kini berada di bawah hak penjagaan Angelina.

Sementara itu, baru-baru ini Brad Pit mengaku dia kembali ketagihan alkohol yang teruk selepas berpisah dengan Angelina kerana tiada siapa lagi yang mengawal dirinya daripada terjerumus ke tabiat buruk itu.

Iklan