Penyanyi pop sensasi, Britney Spears dijangka bakal berehat dari sebarang aktiviti seni buat tempoh masa yang panjang. Ini berikutan masalah kesihatan mental yang dialaminya dan Britney mahu memberi fokus pada keluarga.

Bercakap kepada laman TMZ, pengurus kepada Spears iaitu Larry Rudolph memberitahu, lebih elok penyanyi itu mengambil masa untuk berehat walaupun mengambil tempoh bertahun-tahun.

“Sebagai individu yang menguruskan kerjayanya, saya merasakan Britney tidak patut bekerja. Tidak dalam masa terdekat atau mungkin selamanya.

“Jika dia tidak mahu bekerja saya terima. Tanggungjawab saya hanya menguruskan ketika dia bekerja. Lebih baik dia kembali dalam keadaan yang penuh bertenaga.

“Saya tidak kisah jika dia mengambil masa selama enam bulan atau enam tahun sekalipun. Apa yang penting dia kini tenang dan gembira,” ujar Rudolph.

Spears terdahulu membatalkan tawaran persembahan ekoran masalah yang dialami. Selain dirinya sendiri, dia juga harus memberi tumpuan kepada bapanya iaitu Jamie Spears yang turut mengalami masalah kesihatan.

Baru-baru ini, Spears menjadi tumpuan ramai apabila keluar dari pusat rawatan dalam keadaan yang tidak terurus. Penyanyi lagi Toxic ini juga dilihat tidak memakai kasut ketika keluar dari mahkamah bulan lalu selepas perbicaraan melibatkan hak penjagaan kewangannya.- MHE TV

Iklan