Kumpulan popular dari Korea, Bangtans Boy (BTS) bakal membuatkan peminat di seluruh dunia gembira apabila mengumumkan akan muncul di dalam rancangan realiti terkenal, The Voice.

Menerusi laporan TV Daily, perkara ini disahkan oleh syarikat rakaman Big Hit Entertainment yang menyatakan BTS akan membuat penampilan di dalam rancangan tersebut namun tarikh yang sebenar masih belum ditetapkan.

“BTS memang akan membuat kemunculan di dalam rancangan The Voice, namun pihak mereka yang akan menentukan tarikh bila perkara itu akan berlaku,” ujar sumber Big Hit.

BTS semakin dikenali di peringkat antarabangsa.

Khabar kemunculan BTS di dalam rancangan tersebut dikuatkan lagi dengan kemunculan BTS bersama penyanyi John Legend, baru-baru ini.

Sebelum ini, menerusi akaun Twitter milik The Voice, mereka memuat naik video tentang pengumuman istimewa daripada BTS dan Jonas Brothers untuk episod akan datang.

Namun video tersebut telah dipadam dan digantikan dengan video pengumuman Jonas Brothers dan Taylor Swift yang akan membuat persembahan pada malam 21 Mei ini.

Sementara itu, BTS sebelum ini telah membuat kemunculan di konsert musim panas Good Morning America dan juga menjadi tetamu undangan untuk rancangan The Late Show With Stephen Colbert. – MHE TV

Iklan