Kisah perceraian selebriti sentiasa mendapat perhatian netizen hingga ada segelintir pihak menganggap golongan terkenal itu lebih cenderung memilih jalan perpisahan berbanding berusaha menyelamatkan rumah tangga mereka.

Justeru itu, pelakon popular Fasha terpanggil untuk mengubah persepsi masyarakat memandangkan dia juga pernah berhadapan situasi sama suatu ketika dahulu.

Menurut isteri kepada Aidil Aziz ini, dia berasa bangga dengan gelaran janda yang dipegangnya selama tiga tahun sebelum berkahwin semula awal tahun lalu.

“Ada juga orang kata, eh artis ni suka bercerai berai ke. Eh hellloooo, bukan artis je bercerai-berai, orang bukan artis lagi banyak bercerai-berai cuma tak masuk berita je, sebab orang tak peduli.

“Artis juga selalu akan cuba yang terbaik untuk selamatkan perkahwinan, tapi bila tak berjaya, itu adalah takdir. Sekurang-kurangnya kita cuba perbaiki apa yang boleh untuk selamatkan perkahwinan,”tulisnya di kapsyen Instagram.

Kata Fasha, dia juga tidak pernah berasa malu dengan gelaran tersebut kerana ketika itu dia mampu menyara kehidupannya bersama anak-anak dengan hasil kerja keras sendiri.

Fasha juga memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada semua peminat serta saudara perempuannya agar membuat simpanan kewangan untuk persediaan di masa hadapan.

“Sekarang Allah bagi peluang kedua untuk menerima pasangan baru. Ini pun pinjaman juga daripada Allah, cuma apa yang saya buat, selalu berdoa agar pinjaman kali ini berkekalan hingga akhir hayat, Insya-Allah.

“Jadi perempuan ni kena la kuat, supaya takde orang boleh tindas kita. Yang penting, kena bekerja dan simpan duit dalam bank. Supaya kita tetap bersedia.

Sebelum ini, Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 35, pernah berkahwin dengan ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 27 April 2012 dan bercerai pada 20 Januari 2016.

Selepas beberapa tahun bergelar ibu tunggal kepada dua orang anak, Fasha bertemu jodoh dengan pelakon Aidil Aziz dan pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 30 Mac lalu.

Iklan