“Saya tidak ada masalah dengan mereka. Saya tak mahu gaduh. Sekarang, biar saya teruskan hidup. Tiada siapa yang tidak pernah melakukan silap. Tapi saya sedih, bukan sebab lagu tapi mereka sahabat saya.”

Itu luahan penyanyi, Fitri Haris ketika diminta mengulas kenyataan beberapa ahli kumpulan nasyid, Unic yang meluahkan rasa kecewa apabila Fitri dikatakan menyanyikan lagu-lagu kumpulan itu pada setiap persembahan.

Jelas Fitri, dia tidak pernah berniat untuk menumpang populariti kumpulan tersebut dengan menyanyikan semula lagu Unic sementelah sudah hampir sedekad dia melangkah keluar daripada kumpulan nasyid itu.

Katanya, tidak adil jika dia dikatakan cuba menumpang populariti mereka kerana dia sendiri sedang berusaha untuk menaikkan namanya dalam industri selepas menjuarai program realiti, Gema Gegar Vaganza 2018.

“Saya bukan sepenuh masa dalam industri. Bila perkara ini timbul, banyak pihak terkesan. Saya serahkan sahaja kepada pihak pengurusan. Bukan kecil hati tapi saya lebih kepada terkejut.

“Mereka sahabat saya, tapi bila keluar berita macam ini saya sedih dan hampir murung. Saya terus balik ke Johor dan duduk di rumah untuk beberapa hari. Saya sedih sangat,” katanya.

Sebelum ini, ahli kumpulan Unic, Bazli berkata, Fitri tidak wajar meraih perhatian dengan menggunakan nama kumpulannya.

“Di Malaysia ni ada dua Unic? Saat Unic masih ada, malah aktif dan tengah sibuk persediaan konsert 7 Disember lepas boleh pula ada Unic 2 yang buat konsert nyanyi lagu yang sama.

“Macam kelakar pun ada. Bina karakter sendiri, bina identiti sendiri, kekuatan dan pengikut sendiri. Yakin dengan kemampuan diri sendiri boleh pergi lebih jauh tanpa dibayangi Unic,” ujarnya.

Tidak mahu memanjang isu, Fitri bagaimanapun mendoakan agar kumpulan nasyid tersebut terus berjaya dan bangkit memartabatkan industri nasyid tempatan.

“Mereka merupakan barisan hadapan industri nasyid. Jangan putus asa dan turun ilmu kepada semua pendatang baharu dalam dunia nasyid,” katanya yang mengakui tidak mempunyai masalah dengan ahli kumpulan itu.

Berbicara soal kerjaya, Fitri berkata, dia bakal melancarkan single baharunya, Hanya Kamu yang merupakan ciptaan Awi Rafael.

“Saya akan ke Jakarta untuk penggambaran video muzik dan dalam tempoh seminggu dua, kami akan melancarkan single baharu saya itu,” katanya. – MHE TV

Iklan