Harapan skuad bola sepak negara merangkul juara kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 buat kali kedua tidak kesampaian apabila tewas pada pasukan lawan, Vietnam dengan agregat 3-2 pada perlawanan akhir di Hanoi, malam tadi.

Pada 11 Disember lalu, kedua-dua pasukan ini terikat seri 2-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.

Namun, perlawanan kedua yang berlangsung di stadium Nasional My Dinh, skuad yang popular dengan jolokan The Golden Dragon berjaya menewaskan Malaysia 1-0.

Beraksi di depan lebih 40,000 penonton, Harimau Malaya dikejutkan dengan gol pantas Vietnam menerusi Nguyen Anh Duc pada minit ke-6 hasil lambungan Nguyen Quang Hai dari sisi kanan gol ke dalam kotak penalti.

Peluang bola datang ke kaki tidak disia-siakan Anh Duc dengan melepaskan rembatan kencang menggegarkan pintu gol Malaysia.

Tidak mahu mengalah, Harimau Malaya terus mengasak dengan beberapa serangan merbahaya.

Peluang terbaik Malaysia untuk menyamakan kedudukan menerusi Syahmi Safari pada babak kedua dinafikan Dang Van Lam, sebelum penjaga gol tinggi lampai Vietnam itu sekali lagi cemerlang menepis sepakan percuma Safawi pada minit ke-54.

Gol jaringan Anh Duc itu kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Vietnam berjaya menamatkan penantian 10 tahun untuk menjulang trofi Piala AFF Suzuki yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2008 selepas menewaskan Thailand.

Malaysia pernah menjulang piala AFF Suzuki pada tahun 2010 selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2. -MHE TV

Sumber gambar: AFP

Iklan