Menjadi impian setiap peminat mahu bertemu dan bertentang mata dengan artis pujaan.

Tapi ia tentu lebih bermakna kalau mendapatkan bukan saja tandatangan tetapi barangan eksklusif mereka yang sekaligus akan menjadi kenangan tidak ternilai, bukan?

Kepada peminat kumpulan legenda nombor satu tanah air, Search, ini masanya untuk merebut peluang keemasan itu pada pelancaran Barangan Cenderamata Eksklusif mereka, Sabtu ini.

Acara yang akan diadakan di Fenomena Music, Plaza Damas, Taman Hartamas Kuala Lumpur itu dijadualkan bermula pada pukul 3.00 petang hingga 6.30 petang.

Menurut vokalis Amy, barangan yang ditawarkan mempunyai makna dan nilai sentimental tersendiri untuk dikenang oleh peminat setia mereka.

“Ini peluang peminat untuk memiliki barangan cenderamata kami. Setiap barangan mempunyai trademark asli Search.

“Selain itu, barangan tersebut adalah edisi terhad dan ia sebagai tanda kenangan yang akan menjadi nilai sentimental bermakna untuk mereka.

“Terdapat pelbagai barang yang ditawarkan. Ada yang boleh dipakai seperti baju t-shirt, poskad, penggantung kunci (keychain) dan banyak lagi, boleh disimpan jadikan kenangan,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Penghibur berusia 61 tahun itu juga meluahkan rasa terharu atas inisiatif syarikat Santo Merch yang mencetuskan idea untuk mengeluarkan barangan cenderamata ini.

“Pihak Santo datang kepada kami dan menyuarakan hasrat mereka mahu menerbitkan barangan cenderamata eksklusif.

“Selepas mengadakan perbincangan akhirnya kami bersetuju kerana ini juga sebagai satu lagi tanda kami menghargai peminat,” katanya.

Sementara itu pengasas Santo Merch, Saiful Sokran berkata, pihaknya berbesar kerana dapat bekerjasama dengan artis legenda yang disegani ramai.

“Saya bersama dua lagi rakan merupakan peminat tegar Search. Kami membesar dengan lagu-lagu mereka.

“Tidak sangka kami boleh menjalinkan hubungan dalam perniagaan bersama mereka. Umpama mimpi jadi kenyataan.

“Ini juga boleh dikira sebagai apresiasi sebagai peminat kepada kumpulan pujaan kami,”

“Malah belum pun tiba hari pelancaran, sudah ada peminat dari luar negara seperti Hong Kong, Singapura, Brunei dan Indonesia yang membuat tempahan,” katanya.

Tambah Saiful, bagi mereka yang ingin mendapatkan set Wooden Box, boleh membuat tempahan pada hari acara nanti. Menariknya, set tersebut menawarkan tiga siri iaitu Hard Rockin’ (RM449), Rock n Roll (RM649) dan Fenomena (RM799).

“Istimewanya mereka yang memilikinya Wooden Box nanti akan turut sijil yang bertulis nama dan nombor siri. Itu juga sebagai tanda ia adalah barangan yang eksklusif dan tidak akan boleh didapati di mana-mana,” katanya.

Peminat yang hadir ke acara tersebut turut berpeluang beramah mesra dan mendapatkan tandatangan daripada semua ahli kumpulan Search.

Iklan