Pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam, Shahrolnizam Nor enggan membenarkan anak-anaknya terlibat dalam dunia lakonan terutama di usia kecil.

Jelasnya, dia tidak mahu membebabkan anak-anaknya dengan kehidupan sebagai seorang pelakon yang semua sedia maklum penuh cabaran dan dugaan.

“Saya lebih suka kalau mereka fokus pelajaran dulu sebelum ‘bekerja’. Lagi-lagi sebagai pelakon, memang susah nanti.

“Saya sendiri melihat bagaimana pelakon kecil bersusah payah. Jadi saya tak mahu anak-anak saya hilang fokus pelajaran kerana kerjaya sebagai pelakon,” katanya.

Dalam pada itu, tambah suami kepada penyanyi Safura ini, dia tidak akan menghalang sekiranya anak-anaknya mahu menjadi pelakon ketika mereka sudah dewasa.

“Kalau itu kemahuan mereka nanti, saya tak ada masalah tapi bukan sekarang. Mereka masih kecil.

“Saya sendiri tahu susahnya menjadi sebagai pelakon untuk mencari rezeki keluarga, jadi saya tak mahu anak kecil melalui benda sama,” katanya.

Hasil perkahwinan Shahronizam dan Safura, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata, Yusoff Firdaus, 10, Zara Nuraisyah, 7, dan Ariana Sofea, 5.

Selain itu, dua lagi anak Safura hasil dua perkahwinan terdahulu adalah Nurul Natasha, 24, dan Mohd Daniel Khaqim, 19. -MHE TV

Iklan