MISS ECO MALAYSIA 2019.

Mula aktif di pentas peragaan sejak usianya baru menginjak empat tahun, sehingga ke saat ini Amy NurTine, 23, mampu berbangga atas pencapaian yang diraih di peringkat antarabangsa.

Selain bergelar model profesional, Amy atau nama penuhnya Amy Nur Tinie Abdul Aziz semakin dikenali dalam bidang ratu cantik setelah gelaran juara berulang kali jatuh ke tangannya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu beranggapan, kekerapannya menyertai pertandingan ratu cantik sama ada di dalam atau di luar negara didorong oleh keinginannya untuk bergelar ikon muda bagi generasi masa kini.

“Saya bermula sebagai model kanak-kanak sebelum berjinak-jinak menyertai pertandingan ala ratu cantik yang dianjurkan oleh agensi perancang perkahwinan.

“Dek pengalaman yang ditimba saban tahun, saya mula memberanikan diri menyertai pertandingan ratu cantik sebenar yang sebelum ini dikuasai oleh kaum bukan Melayu,” cerita Amy memulakan bicara.

Amy pernah bergelar finalis Gadis Panca NR 2017 namun terpaksa menarik diri kerana menyertai pertandingan ratu cantik di luar negara.

Amy menambah, meskipun penglibatan kaum Melayu dilihat serong oleh sesetengah pihak, namun dia tidak mengambil kisah tentang persepsi tersebut.

Menjadikan primadona Erra Fazira dan Rahimah Orchient sebagai idola, Amy menganggap status ratu cantik yang digalas mendorongnya agar sentiasa berhati-hati terhadap setiap tingkah laku yang dipertontonkan kepada umum.

Pencapaian terbaik Amy di pentas ratu cantik dunia apabila menghuni tempat kelima Miss Eco International 2019 yang diadakan di Mesir.

“Ratu cantik begitu sinonim dengan sikap-sikap positif dan disebabkan hal itu, ia mampu mendidik diri saya untuk berada dalam keadaan sentiasa beringat.

“Imej gadis berbikini tidak lagi menjadi elemen penting dalam pertandingan ratu cantik era kini. 

“Jadi, kenapa tetap nak kecam? Bukannya saya berbikini!” persoalnya.

“Lagipun, semua pertandingan ratu cantik yang saya sertai memang tiada segmen pemakaian bikini, malah lebih mengutamakan aneka aspek positif untuk pembentukan personaliti yang terbaik,” kongsinya. – MHE TV

Iklan