Siapa kata anak Malaysia tidak pandai? Maryam Balqis Abdul Rashid, 23, telah membuktikannya.

Apa yang dilakukannya benar-benar membanggakan negara apabila memperoleh keputusan CGPA 4.0 di Arizona State Universiti (ASU), Arizona, Amerika Syarikat dalam bidang Kelestarian (Sustainability).

Lebih mengagumkan apabila dia turut berjaya mengekalkan keputusan cemerlang sepanjang melanjutkan pelajaran di sana.

Mengikut sumber maklumat daripada Pejabat MARA Washington, selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya itu kemudiannya melanjutkan pengajian asasi dalam program Asas Ijazah Amerika di Kolej INTEC, Shah Alam.

“Dia kemudiannya meneruskan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Kelestarian di ASU yang merupakan kursus pertama ditawarkan di universiti berkenaan,” kata portal itu lagi.

Selain cemerlang dalam akademik, Maryam juga cemerlang dalam kegiatan kokurikulum, sehingga memenangi beberapa anugerah atas pencapaian beliau di ASU.

Antara anugerah yang diperolehi oleh Maryam Balqis termasuklah ‘Community Assistant of the Year’, ‘Outstanding Graduate Award Spring 2019’ oleh Fakulti Kelestarian dan Persatuan Alumni ASU, ‘Anugerah Kecemerlangan Akademik sempena Perdana Scholar Awards 2018’, dan “Frasier Global Mentorship program”.

Atas kecemerlangannya itu, pihak MARA Washington turut memberitahu Maryam Balqis akan melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah sarjana dalam kursus ‘Penyelesaian Kelestarian’ pada bulan Ogos 2019. – MHE TV

Iklan