DIBESARKAN dalam sebuah keluarga pemain bola sepak dan pernah bernikah dengan atlet bidang tersebut, pelakon Rita Rudaini tidak pernah mati jiwanya untuk terus menyokong para pejuang di arena tersebut.

Membuktikan cintanya yang tidak pernah berakhir terhadap sukan berkenaan, Rita berjaya menganjurkan acara dinamakan Rita Rudaini (RR) Junior Cup 2018. 

RR Junior Cup 2018 berlangsung di Kompleks Sukan Setiawangsa, Kuala Lumpur bermula pukul 9 pagi tadi. 

Lebih menarik, dua anak lelakinya, Rayyan, 9 dan Arjuna, 7, turut mengambil bahagian dalam kejohanan terbabit.

Menyaksikan persaingan antara 32 pasukan kanak-kanak berusia antara 8 dan 9 tahun dari seluruh negara, acara penuh kemeriahan ini diharap bakal melahirkan pelapis jaguh bola sepak negara. Itu impian Rita.

“Anak-anak amat minat main bola dan sebagai ibu saya perlu beri sepenuh sokongan. Semoga impian mereka menjadi pemain bola sepak negara akan menjadi realiti.

“Dalam masa dua bulan, kami berjaya menganjurkan acara ini dan tidak sangka dapat sambutan cukup meriah dari seluruh negara sehingga banyak penyertaan terpaksa ditolak. 

“Terima kasih kepada semua ibu bapa dan anak-anak yang terlibat menyokong RR Junior Cup edisi pertama ini,” beritahu Rita.

Penyertaan turut dimeriahkan dengan penglibatan pasukan dari Singapura. – MHE TV

Iklan