Berang tidak mahu memenuhi permintaan untuk pulang dan bekerja semula di kebun sayur, seorang lelaki bertindak menculik teman wanita sendiri.

Kejadian tersebut berlaku Jumaat lalu apabila mangsa berusia 31 tahun dilarikan teman lelakinya di Sungai Chua, Kajang untuk di bawa ke Muar, Johor.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, bapa mangsa yang menyedari kejadian itu melihat anaknya dipaksa menaiki sebuah kereta sebelum kenderaan itu beredar dari rumah mereka di Sungai Chua, lapor Bernama.

“Bapa mangsa mula panik apabila panggilan telefon daripada anaknya dirampas suspek selain talian juga dimatikan. 

“Siasatan awal polis mendapati wanita itu dilarikan seorang lelaki yang dikenali mereka dengan menaiki sebuah kereta Proton Iswara.

“Suspek dikatakan sebagai majikan kepada mangsa, yang mahu wanita itu pulang bekerja di Muar, tetapi mangsa menolak pelawaan suspek kerana tidak dibayar gaji.

“Bapa mangsa memaklumkan mangsa bekerja dengan suspek sejak hampir setahun lalu dengan mengusahakan kebun sayur,” katanya.

Hasil maklumat itu, polis telah menyerbu sebuah rumah di Taman Serom 6 Tangkak, Johor dan berjaya menyelamatkan mangsa.

Ketika dijumpai, mangsa dalam keadaan baik, namun mengatakan dirinya dipukul suspek beberapa kali ketika dalam perjalanan ke Johor.

Suspek berusia 43 tahun di siasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan. – MHE TV

Ruang komen