Sempat menjalani hukuman penjara selama 35 hari sejak sabit kesalahan menggunakan dadah jenis ganja pada 15 Mei lalu, namun keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya itu terhadap Datuk Farid Kamil, 38, ditangguhkan hari ini.

Adik aktor terbabit iaitu Fadzil Zahari semasa dihubungi berkata, dia cuma mampu mengucapkan rasa syukur atas perkhabaran gembira tersebut.

“Buat masa sekarang, saya hanya boleh ucap Alhamdulillah. Segala urusan dipermudahkan-Nya,” kata Fadzil ketika diminta mengulas tentang hal itu.

Difahamkan, dek kesibukannya dalam menguruskan kepulangan abangnya, penulis skrip berkenaan mengelak untuk memberi ulasan lanjut.

Awal hari ini, Hakim Datuk Ab. Karim Ab Rahman membenarkan rayuan Farid selaku pemohon dalam prosiding di Mahkamah Tinggi di Shah Alam, hari ini.

Hakim turut memerintahkan agar pelakon Lagenda Budak Setan itu membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala pasport diserahkan ke mahkamah hingga kes selesai.

Terdahulu, Farid yang menjalani hukuman di Penjara Kajang telah memfailkan rayuan terhadap hukuman ke atasnya pada 21 Mei lepas dan mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman pada 31 Mei lepas. – MHE TV

Iklan