Insiden udara yang tercemar kerana bahan kimia di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini wajar dipandang serius oleh semua pihak terutama kerajaan agar tidak berulang lagi.

Kejadian mengakibatkan para pelajar dan guru sekolah sesak nafas terhidu `udara beracun’ turut mengundang kekecewaan penyanyi terkenal Datuk Ramli Sarip.

“Ini bukan perkara main-main. Tak boleh dipandang mudah. Pihak berwajib perlu ambil perhatian perkara-perkara yang melibatkan keselamatan awam dan alam sekitar.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap kecuaian pihak yang terlibat. Begitulah usaha menangani masalah ini wajar disegerakan bagi mengelak kejadian berulang.

“Kalau perkara seperti ini diabaikan, bimbang akan ramai lagi menjadi mangsa pencemaran bahan sisa kimia. Ia mesti dipandang serius semua pihak,” katanya memberi komen isu yang diperkatakan itu.

Dalam pada itu, penyanyi yang dikenali dengan gelaran Papa Rock Malaysia ini turut sedih membicarakan ancaman kanser yang masih kedengaran di sana sini hingga mengundang kematian.

“Sakit kanser, buah pinggang dan jantung antara yang kita biasa dengar mengakibatkan kematian.

“Saya juga sedih telah kehilangan sahabat-sahabat baik kerana kanser. Penyanyi dan pemuzik legenda Zulkifli Sultan yang saya kenal, telah meninggal dunia kerana kanser.

“Peminat setia saya, Shukor Atan juga menghidap sakit ini dan meninggal dunia pada bulan puasa baru-baru ini.  Seorang lagi kenalan saya, Sudirman Margona juga sedang menjalani rawatan serius kerana kanser.

“Ancaman kanser perlu kita ambil peduli,” katanya yang bersetuju agar usaha pihak berwajib dan kempen mengenai gaya hidup sihat terus ditingkatkan.

Ramli Sarip sebelum ini dilihat sentiasa bekerjasama menjayakan konsert amal termasuk kanser.

Terbaharu, malam 6 Julai ini berlokasi di kawasan peranginan Desaru Coast, Ramli Sarip dengan tiga lagi artis terkenal, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan Francesca Peter bakal menjayakan pementasan A Night With Legends Concert.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Coast , Roslina Arbak, pilihan menggabungkan empat artis terkemuka tanah air ini mendapat respon memberangsangkan dengan semua meja yang dijual dengan harga RM8,000 hingga RM20,000 telah mendapat sambutan baik dalam kalangan korporat.

Selain dihiburkan dengan persembahan artis-artis terkenal ini dengan lagu-lagu popular mereka selama lebih satu jam, pihak penganjur juga akan membuat sumbangan untuk dana Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Iklan