Pelakon Dazrin Kamarudin meluahkan rasa terkejut apabila membaca kisah tentang seorang usahawan kosmetik yang dikongsikan kepada MHE TV sebelum ini sedangkan individu tersebut masih berhutang dengannya puluhan ribu ringgit.

“Dia bagaikan tidak ada masalah, sedangkan sebelum ini beberapa artis telah pun membuat laporan polis tentang penipuan yang pernah dia lakukan.

“Saya dilantik menjadi duta produk kecantikannya dengan nilai kontrak puluhan ribu. Namun sehingga hari ini, dia masih belum menyelesaikan baki bayaran,” ujar Dazrin.

Menurutnya lagi, usaha untuk menghubungi wanita tersebut gagal kerana semua panggilan dan pesanan ringkas tidak berjawab. Dazrin berkongsi kisah ini kerana tidak mahu lebih ramai rakan artis menjadi mangsa wanita tersebut.

Dazrin bersama beberapa rakan artis pernah membuat laporan polis tentang penipuan usahawan kosmetik tersebut. (FOTO Instagram BH)

“Bukan saya tidak pernah cuba untuk menghubunginya, namun semuanya tidak berhasil. Saya tak mahu sampai satu tahap terpaksa pergi terjah ke rumah dia pula satu hari nanti.

“Membaca kisahnya yang rapat dengan artis lain, saya mula rasa risau. Kalau boleh janganlah ada yang akan menjadi mangsa dia lagi selepas ini,” jelas Dazrin. – MHE TV

Iklan