PENYANYI, Sufie Rashid, 28 selamat bergelar suami kepada pasangannya, Nurulain dengan sekali lafaz, pagi Ahad.

Sufie dinikahkan oleh bapa kepada pengantin perempuan dan dikendalikan oleh jurunikah, Pendaftar Nikah Putrajaya, Ustaz Haji Hasli Othman.

Menurut Sufie, dia bersyukur kerana dipertemukan jodoh bersama Ain kerana isterinya itu sangat memahami kerjayanya sebagai selebriti.

“Saya bersyukur kerana saya dijodohkan dengan Ain. Ain merupakan isteri yang sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang selebriti. Dia tidak pernah menghalang untuk saya terus berkarya dalam industri seni,” katanya.

Tambahnya lagi, dia memohon agar peminat mendoakan kebahagiaan mereka hingga ke jannah.

Majlis pernikahan berlangsung di Pulse Grande Hotel, Putrajaya dengan menyaksikan dulang hantaran sembilan berbalas tujuh serta cek hantaran perkahwinan berjumlah RM20,000 serta Mas kawin sebanyak SGD300 dan sebentuk cincin.

Terdahulu, Sufie atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid mengikat tali pertunangan dengan pengasas produk makanan Krispy Krunchee, Nurulain Md Yusof pada 15 Disember yang lalu.

Iklan