Amir baru sahaja melancarkan single keduanya berjudul Gadis Yang Ku Tunggu.

Sejak sebulan lalu, kedengaran khabar angin mendakwa penyanyi muda, Amir Hasan, 23, menjalin hubungan istimewa dengan aktres cantik, Sweet Qismina, 22.

Gosip tersebut difahamkan mula menjadi bualan setelah kedua-dua remaja berkenaan memuat naik beberapa keping foto di media sosial masing-masing berserta kapsyen yang menimbulkan tanda tanya kepada peminat mereka.

Selain menyanyi, Amir merupakan seorang usahawan kedai vape.

Berkesempatan bertemu dengan pelantun lagu Bicaramu itu baru-baru ini, Amir mengakui bahawa Sweet seorang gadis yang berperwatakan menarik dan mudah didekati.

“Sebenarnya, kami mula berkenalan ketika sama-sama terbabit menjayakan video muzik single baharu saya berjudul Gadis Yang Ku Tunggu.

“Penggambaran yang diadakan beberapa bulan lalu itu berjalan dalam keadaan yang baik dan lancar disebabkan lakonan Sweet yang begitu bersahaja.

Amir akui hubungannya dengan Sweet sekadar rakan kerja.

“Berbanding saya yang bukannya seorang pelakon, tak dinafikan dia banyak membantu melembutkan karakter lakonan saya daripada kelihatan keras, salin tak tumpah seperti batang kayu!” cerita Amir dalam nada berseloroh.

Beralih bicara mengenai gosip yang dimaksudkan, Amir menjelaskan bahawa hubungannya dengan Sweet atau Farhanna Qismina Supandi adalah pada tahap profesional selaku rakan artis yang bekerjasama untuk klip video tersebut.

Jelas Amir, mereka memang mudah berasa serasi ketika penggambaran dijalankan dan perkara tersebut adalah disebabkan tahap profesionalisme Sweet dalam membantu dirinya menjiwai watak jejaka romantis.

“Diakui, dia seorang gadis yang ceria dan sangat manis. Tak mustahil jika ramai yang meminatinya dalam diam,” akui Amir sambil tersenyum. – MHE TV

Ruang komen
  11 kali ditinggalkan kekasih, Amir Hasan kembali tagih cinta si gadis
Iklan